Syair Bagonsari

Mac 14, 2008

Mata bersinar bak bintang timur
Kulit putih bak kapas di busur
Alis bak kulit bawang putih
Pipi tergantung bak ulas bermuda
Gigi teratur bak sirih tersusun
Bibir merah bak delima
Jalannya melamar cinta
Suaranya melempar rindu.
Ke kamar sama berganding
Ke taman sama berpimpin
Bersantap menukar tangan.

Padi ditugal berhuma subur
Jagung berganti menabur bakti
Sayur menghijau mencelah dada
Benih disemai buah bergayut.

Putih Selasih putihlah ia
Bulat mata Bagong, bulatlah mata ia
Bujur muka Bagong, bujurlah wajah ia.
Kulit putih bak kapas di busur
Mata bersinar bak bintang timur
Pipi tergantung mencerlah dahi
Alis bibir menguntum penawar.

Siapa dekat siapa cinta
Siapa pulang siapa mimpi
Siapa ingat siapa khayal.

Siang meratap, malam merindu
Burung bersiul terasa Badang tersenyum
Air diminum terasa Badang tersenyum
Pagi membawa ke petang, malam membawa ke siang.

Ada belukar diredahi
Ada paya diharungi
Jumpa bukit, bukit didaki
Jumpa lurah, lurah dituruni.
Ubi digali, dibakar dimamah
Pelandok dipanggang dilapah dikedarah.

Oleh Rejab F.I
(Siri cerita rakyat terbitan Tratra Publishing & Trading Sdn.
Ungkapan Klasik Menggambarkan Kecantikkan Wanita


Di Bumi Tercinta Ini ~ Rejab FI

Februari 26, 2008

Di bumi tercinta ini
kita menganyam perjuangan
berbekalkan sebuah bahtera
dan sebuah neraca
milik perjuangan sejati:
memartabatkan bahasa ibunda.

Bahasa ibunda adalah bekalan
membangun atma anak-anak watan
meneroka belantara
melayari lautan
menerbangi angkasa kerana kehidupan
mesti dibajak
mesti diteroka.

Di bumi tercinta ini
kita semaikan semangat
bercambah di sanubari anak nusa
bahawa bahasa adalah jati diri bangsa
bahawa bahasa identiti negara.

Wahai anak-anak watan
gemblengkan tekad
bahawa bahasa itulah
memupuk nilai-nilai kehidupan
menyemarakkan azam dan cita-cita
memperkukuhkan tamadun bangsa
memerdekakan diri daripada
pengkhianatan
membebaskan perjuangan
ketamakhalobaan.

Bahasa adalah permata
adalah mutiara
adalah intan baiduri
kerana bahasa mahkota bangsa.

Di mana hak dan harga diri
jika bahasa terkorban dalam arus
globalisasi
di mana hakikat perjuangan sejati
jika hanya memperkukuhkan kuasa
sehingga terkorban perjuangan bangsa?

Kita wajar mengimbau
pembangunan negara berwibawa
lewat bahasa ibunda
membangun ekonomi dan keperibadian
bangsa
membangun pendidikan dan sahsiah
negara.

Wahai anak-anak watan
gemblengkan perjuangan
bahawa kita tidak betah lagi terjajah
bahasa adalah hak mutlak
memperkasakan nusa bangsa
di bumi tercinta ini.

REJAB FI
Perlis.
18 November 2007