Ibuku ~ Usman Awang

IBUKU mempunyai seribu mimpi
Yang dipikulnya tiap hari
Sambil menimangku ia pun menyanyi:
Timang tinggi-tinggi,
Dapur tak berasap,
Bila besar nanti,
Jangan masuk lokap.

Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah
Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah
Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah.
Hatinya selalu teringat
Suaminya yang mati melarat
Setelah dikerumuni lintah darat

Ibuku tangannya kasar berbelulang
Mengangkat bata-bata bangunan
Wajahnya dibedaki debu berterbangan.
Ibu tidak pernah mengenal supermarket
Tinggal di bilik sempit
Upahnya buruhnya sangat sedikit

Ibuku tidak punya TV
Tidak berpeluang pula menontonnya
Tak pernah mengikuti laporan parlimen
Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk
Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan
Atau pertunjukan masak-masakan
Dengan resepi yang sangat menakjubkan

Ibuku setiap pagi berulang ke kilang
Bekerja dengan tekun hingga ke malam
Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam
kaburlah mata ibu diselaputi logam

Ibuku tidak tahu tentang hak asasi
Apalagi tentang seni dan puisi.
Jika ditanya makna melabur
Nama-nama saham yang menjanjikan makmur
Atau tentang dasar pandang ke timur,
Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur
Yang melimpah kanji beras hancur

O ibuku sayang
Di negerimu kau menumpang.
Sesekali kudengar ibu menyanyi
Pantun tradisi caranya sendiri:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Tak boleh jadi menteri

Usman Awang

( Dipetik dari Puisi-puisi pilihan Usman Awang)

10 Responses to Ibuku ~ Usman Awang

  1. zeroviruse berkata:

    ingat lah suadara ku sekalian… Sesungguhnya syurga ada di bawah tapak kaki ibu kita….
    Ingatlah….

  2. shahrul sksgp berkata:

    berbangga dan berbahagialah mempunyai ibu….
    bagi yang tidak mempunyai seorang insan yang bergelar IBU, bangga dan bahagia hanyalah dibibir bukan di jiwa…

  3. hani berkata:

    membaca sajak2 usman awang , bait2 yg d tutur amat senang d fahami sehingga membaca berulang2 pun saya tdk jemu..

  4. Ria Darwina berkata:

    Ibu yang rajuk
    ~~~~~~~~~~~~~~

    Semalam ibu dekat kampung
    merindu anaknya berminggu dan berbulan
    menelefon ingin berbicara hendak bertanya khabar
    pada anak yang lama dirinduinya
    deringan berbunyi tiada pernah diangkat
    sms dihantar tiada jawapan
    telefon dipejabat
    sekretari menjawab
    dalam mensyuarat
    ditinggal pesanan
    masih diam membisu

    Ibu tekad dengan menaiki bas malam
    sejuk hawa dingin membaluti tubuh tua
    datang menjenguk ke ibu kota
    berbekal alamat mengenggam ditangan
    membaca beribu kali
    ternamapak wajah anak..

    Sampai kerumah anak waktu pagi
    sesudah subuh dengan teksi
    ditekan loceng beberapa kali
    pintu dibuka seorang gadis manis
    bertanya siapa yang tercegar dipagar
    ibu pada seorang anak lelaki

    Anak lelaki keluar bersama seluar pendek
    dijemput ibu kedalam rumah
    dipelok tubuh ibu dan cium pipi
    berlinang air mata ibu
    rasa puas melepas rindu

    Tapi siapa gadis misteri
    dia bukan siapa-siapa malah bukan isteri anak ibu ini
    dia gadis yang dberitahu
    pada ibu sebagai hanya kawan yang belum kawin
    yang tidurnya satu kamar berguling-guling saban waktu malam hari..
    berkesedudukan dah masuk lima bulan ini

    Tangisan ibu semakin menjadi
    anak yang dirindui hidup cara ini
    tak malukah pada tuhan yang pemberi rezeki
    tak malukah pada umat islam disini
    marah ibu tua lagi

    Ibu tua yang rajuk
    tiada siapa lagi yang akan dapat memujuk
    mengangkat beg pakaian terus melambai teksi
    ibu yang rajuk
    dengan linangan air mata tanpa henti
    terus balik ke kampung mengubat hati sendiri

    Ria Darwina

  5. L.O.L berkata:

    nadai agaik ba ditok

  6. helo berkata:

    hahaha kidding only i’m not iban

  7. Josephine's Blog berkata:

    […] Ibuku ~ Usman Awang […]

  8. A Afandi Suhaimi berkata:

    jika tidak silap saya, dalam sajak yang sebenar pantun tersebut di jarakkan ketepi sedikit. Jika betul, saya harap bentuk penulisan sajak tidak diabaikan ketika ingin menulis sajak semula kerana bentuk sajak mempunyai maksud yang tersendiri yang ingin disampaikan oleh penulis

  9. Saturdaynight berkata:

    Kubaca lagi, Kubaca berulang-ulang tak pernah puas, puisi bisa melembutkan hati yg keras

Tinggalkan komen