Advertisements
 

Puisi Masyitah – Zurinah Hassan

Januari 21, 2010

MASYITAH

Kau tidak pun merasa gentar
melihat kawah Firaun
kau tidak pun teragak-agak
untuk melepaskan bayimu
segala itu telah kau relakan
demi cinta pada Tuhan

Aku tahu Masyitah
keyakinan boleh menghilangkan kesakitan
dan aku pun cukup tahu
keraguan itulah sebenarnya kesakitan.

Zurinah Hassan
(Antologi Keberangkatan)

Advertisements

Jebat Yang Tidak Jadi Menderhaka – Zurinah Hassan

April 1, 2009

Sepanjang hidupnya
Jebat mendengar Tuah berkata:
pantang Melayu menderhaka.

Kata-kata itu diulang-ulang
pantang Melayu menderhaka
pantang Melayu menderhaka.

Tuah mengajar mereka menghafalnya
Tuah meminta mereka berjanji
untuk mentaati.

Sehinggalah pada hari itu
Tuah dihukum tanpa usul periksa
Tuah yang setia dituduh menderhaka
Tuah yang dikasihi dihukum mati
siapakah yang dapat berdiam diri.

Dengan marah yang menggelegak
Jebat mahu memberontak
tetapi dia tergamam
terbayang wajah Tuah
bersungguh-sungguh meminta
agar tidak menderhaka
kata-kata orang yang disayangi
memang selalu dikenang
amanat orang yang disayangi
akan tetap dipegang
jika Jebat menderhaka
akan tercemar persaudaraan mereka.

Kerana kasihnya kepada Tuah
Jebat tidak jadi membantah
dia pun tunduk
menerima segala tugas can anugerah
yang telah dilucutkan daripada Tuah.

Tidak ada apa-apa
yang berlaku di Melaka
kerana Jebat tidak jadi menderhaka
tidak ada apa-apa yang mengganggu
ketika raja lena beradu
didodoi dayang diulit lagu.

Kerana Jebat tidak menderhaka
Tuah tidak dijemput pulang ke Melaka
Hiduplah dia di hutan
sehingga mati dan dilupakan.

~ Zurinah Hassan
Salasilah (DBP 2005, hlm 36-37).
http://zurinahhassan.blogspot.com


Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa – Zurinah Hassan

Februari 27, 2009

Ingin kurakamkan segalanya pada malam ini
bagaimana kutidur di dadamu
dan kau cuba mengeringkan airmata
tapi aku tidak dapat bersuara
apabila setiap kata-kataku
telah menjadi sebuah dosa

Bila kau bertanya sesuatu
paling mudah menjawab “tidak tahu”
kerana berkata benar
telah menjadi sebuah dosa

Dan apalagi yang tinggal
selain mulut yang bisu
bila suaraku
telah menjadi merbahaya
dan kata-kata
telah menjadi sebuah dosa.

Zurinah Hassan, 1977
http://zurinahhassan.blogspot.com


Hujan di Pulau Pangkor ~ Zurinah Hassan

Mei 4, 2008

Hujan di Pulau Pangkor
awan laut dan pasir
terbungkus kedalam warna air
teamu hotel antarabangsa
menggeliat ke dalam selimut kamar penginapan
sedikit kesal kerana tidak dapat memakai bikini
berbaring di pantai dan kolam mandi.

Hujan terus menampar pulau
nenek bongkok tidak ke pantai mengutip kulit siput
yang dijual kepada pengukir bunga karang
tetapi di luar ada seorang bapa
mengajar anak-anaknya merendam harapan
ke dalam kesejukan sebuah kolamn
mencari bola-bola golf yang tenggelam
sambil menangkap haruan.

Hujan hingga ke malam
pelancong-pelancong memanaskan tekak di lounge
meneguk getaran gitar Sepanyol kumpulan Flipina
sedang di luar
angin tersangkut pada atap-atap rumah nelayan
air terjerat di lantai dapur
kayu api, sabut dan ikan tak terjemur
kereta sewa terdampar tanpa penumpang
kapal ikan bilis masih bermandi gelombang.

Zurinah Hassan
1989

http://zurinahhassan.blogspot.com


Yang Pasti ~ Zurinah Hassan

April 7, 2008

Kau mungkin bukan lelaki terbaik
Tapi buat perempuan sepertiku
Mungkin tidak ada yang lebih
Darimu

Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
Tapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih baik

Usahlah bertanya apakah aku bahagia
Aku juga tidak menyoal perasaanmu
Kerana kadang-kadang bila terlalu mahu memasti
Orang jadi semakin ragu
Terlalu berbicara dan banyak menganalisa
Orang jadi semakin tidak tahu

Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan
Tapi yang pasti
Kita tidak perlu terlalu pasti

~ Zurinah Hassan


Kawan ~ Zurinah Hassan

April 4, 2008

Senyum kawan di sebelahku hari ini
hilang madu citanya
hilang seri ceritanya
dari semalam yang menyentuh urat nadiku
dengan suara yang pasti.

Anak lemah ini
wakil daerah penderitaan
esok seluruhnya akan membangun
dari gelora kegelisahan.

Semalam suaranya paling rela
melepaskan suara rindu yang syahdu
kerbau di bendang lembu di kandang
bertukar milik wang tambang
ayah ke Tanah Suci.

Semakin melunjuk sri senyumnya
mendabik dada cerita ria
nasi sekhemah gulai sekawah
bertimpa orang ke rumah
hilai usik kakak di pelamin
yang menjerat setiap cara pencarian.

Hari ini serinya telah hilang
tinggal keluh lemas
dilemaskan bayaran yuran dan harga buku
sedang ayah kekosongan saku.
 
Zurinah Hassan
1969


Batu Tiga, Shah Alam ~ Zurinah Hassan

April 2, 2008

Maafkan kami,
membelah subuhmu dengan deruan kereta
untuk mengelak sesak lebuh raya
ke Kuala Lumpur
lalu menyimbah asap dan debu
ke helai-helai mengkudu.

Hingga petang kami mengejar hidup menghimpit ke pintumu
burung-burung bertempiaran
daun-daun kering kehilangan arah
dan aku semakin payah
untuk pulang ke rumah.

Apakah malammu masih tenteram
atau telah terpanah oleh garang lampu kereta
sudahkah kau ajar anak-anakmu
melawan kekerasan
seperti kau membongkat isi hutamn
untuk menumpang membesarkan mereka
abang-abang yang sempat mengejar ayam-ayam
dalam rimbun ucuk ubi
sebelum mendaparkan harapan
pada kilang-kilang di Shah Alam.

Maafkan kami
anak-anak Bau Tiga
pembangunan telah meredah ke tangga.

Zurinah Hassan