Advertisements
 

Di Rumah Cinta – Dharmawijaya

Februari 20, 2009

Setiap kali ku kunjungi
rumah cinta ini
kurasakan pintu takwa
semakin membukakan
sinar makna
kandil wahyu
titian keagungan-Mu………..

(Dharmawijaya,1992)

Advertisements

Sajak Segalanya Padamu Ibunda – Dharmawijaya

Februari 19, 2009

Masa silam yang terpendam
di suram matamu
merantai badai beban waktu
kutahu
kau masih berupaya
meniduri hamparan duka.

Masa kini yang terukir
di senyum ramahmu
mendepani gementar siang gelisah malam
kutahu
kau adalah ladang segala kesabaran
tegak teguh merimbuni pohon ketabahan.

Masa depan yang terpancar
di nyala dadamu
kutahu
kau tak rela daun-daun harapan
gugur luruh menampar genggaman.

(Dharmawijaya, Dewan Sastera, Oktober, 1979)


Sajak Warna Maya – Dharmawijaya

Februari 18, 2009

Derita itu
sangkar madu
anak-anak manusia
bercitawaja.

Bahagia itu
angin debu
anak-anak manusia
penagih kurnia.

Berita-bahagia
adalah warna maya
pantai dan lautnya
dada
kembara!


Biodata Dharmawijaya

Februari 18, 2009

Tokoh penyair negara, Kamaruzzaman A. Kadir atau lebih dikenali dengan nama pena Dharmawijaya meninggal dunia di Hospital Seremban pada April 2005 akibat kanser paru-paru.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah meninggalkan seorang isteri, Zaini Ma’aya, tiga orang anak iaitu Susilawati, Asrul Effendi dan Iza Hairani.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Haji Said.

Allahyarham yang memiliki ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya pada tahun 1981 pernah menjadi guru bahasa dan kesusasteraan Melayu di sekolah menengah; pembantu penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (1971-1972) dan; pensyarah (1981-1986) dan Profesor Madya (1987-1994) di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Allahyarham bertugas di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM sebagai Sarjana Tamu sejak tahun 1996 sehingga meninggal dunia.

Selain seorang penyair, Allahyarham juga adalah seorang penulis esei dan kritik sastera terutama puisi.

Allahyarham pernah memenangi hadiah sastera Malaysia pada tahun 1971, 1976 serta 1982/83 dalam bahagian puisi.

Allahyarham menerima anugerah penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Bangkok, Thailand pada tahun 1993, anugerah penyair GAPENA pada tahun 1999 dan anugerah pujangga, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2002.

Beberapa buah buku kajian Allahyarham mengenai puisi yang telah diterbitkan ialah Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982) yang turut memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83 dalam bahagian buku kajian sastera moden terbaik; Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi (1987); Berkenalan Puisi (1987), Pemahaman dan Penghayatan Puisi (1992) serta Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran (1992) dan edisi yang sama dikemaskini pada 1998.

Turut diterbitkan ialah tiga buah kumpulan pusi persendiriannya iaitu Warna Maya (1974), Derita Buana (1992) dan Jejak Kembara (1999).

Di samping itu, Allayharham adalah penyusun antologi puisi Di Penjuru Matamu (1975) dan Bunga Gerimis (1986) yang pernah menjadi buku teks Kesusateraan Melayu di sekolah-sekolah menengah; Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Puisi Sepanjang Zaman (1989) dan Gurindam Alam (1994) yang menjadi rujukan umum dan di institusi-institusi pengajian tinggi.


Pintaku Padamu ~ Dharmawijaya

Oktober 4, 2007

Kalau esok kasih kita `kan hancur jua
usah ditaburi bumi ini dgn air mata
dunia bukan semata milik org bercinta
hidup jua bukan semata utk berlagu kecewa

di bawah mentari pagi demikian jernihnya
hayunkan gagah langkahmu sepenuh khidmat
usapi kesetiaan hati seluruh umat

Kalau esok jua hidup dijenguk kematian
usah ditangisi sepinya tanah kelahiran
nyanyikan lagu perindu ke wajah Tuhan
tanda hatimu setia dlm usia pengembaraan

tau-taulah di bintang satu
di hari hidup kita mengejar bahagia dlm sengsara
di hari mati kita mengira pahala dan dosa

Dharmawijaya (1963)


Pada Waktu-Waktunya ~ Dharmawijaya

Jun 8, 2007

Kalaulah gelisah membelah
tenteram dadamu
teguh-teguhkanlah
langkah perkasamu
membenamkan duka
di jalan terbuka

Kalaulah sepi meningkah
hayat kudratmu
cekal-cekalkanlah
lelah relamu
melemparkan risau
di angin pulau

Kalaulah hampa mencecah
pinta sentosamu
tenang-tenangkanlah
gementar hatimu
bagai musafir
mengucup takdir

Dharmawijaya
1981


Di Ruang Gemanya ~ Dharmawijaya

Februari 14, 2007

Telah kurangkumkan rebah setiaku
pada setiap pilu dan rindu
melayang dan mengembang
ke hayat gemilang.

Sejak itu
tidak kukesal lagi
goda dan duga
di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku
pada setiap kerikil dan debu
datang dan menghilang
ke hujung kenang.

Sesudah itu
tidak kukenal lagi
hampa dan derita
di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi
adalah titipan maya
bakal kukongsikan hati
mengukir tadbir di ruang gemanya.

Dharmawijaya
Gurindam Alam, 1994