Pantun Joget Pahang

Disember 11, 2009

Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah di Johor beli berangan,
Kami mengucapkan selamat datang,
Apa yang kurang dikeji jangan.

Negeri Pahang aman sentosa,
Kaya dengan tumbuh-tumbuhan,
Niat di hati nak buat jasa,
Mudah-mudahan Tuhan kabulkan.

Pukul gendang kulit kerbau,
Dalam majlis tari-menari,
Kami ini daganglah merantau,
Mengharap belas orang di sini.

(Dipetik daripada antologi Seuntai Kata untuk Dirasa,Tingkatan 2,DBP)


Koleksi Pantun Teka-Teki

Disember 5, 2009

Terbang tinggi si burung helang
Hinggap di atas pohon meranti
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi?

Ada tubuh ada tangan,
Tiada kepala tiada kaki;
Sangat berguna waktu hujan,
Apakah dia yang dimaksudkan ini.

Buah budi bidara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?

Budak-budak ramai di pekan
Hari raya membakar petas
Kalau adik pandai kiasan
Apakah buah gugur ke atas?

Tinggi duduk di atas sekali,
Bukan bulan bukan matahari;
Bila malam ia berseri,
Bila siang ia berganti.

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Cik Limah bersama anak lelaki
Duduk makan keropok lekor
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Pergi umrah setiap tahun,
Moga sentiasa murah rezeki
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Bila kecil boleh ditiup,
Sudah besar janganlah lagi,
Kalau tercucuk ia meletup,
Kalau terlepas terbangnya tinggi.

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun;
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun.

Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu?

Hidup aman di dalam kota,
Ada pemimpin bernama raja;
Buruh-buruh rajin bekerja,
Askar bertugas setiap masa.

Jawapan: Klik Sini


Syair MCKK

September 2, 2009

Syair MCKK

Seratus tahun telah berlalu,
Tersergam gagah, Malay College yang satu,
Wawasan murni Raja-Raja Melayu,
Agar negara makmur dan maju.

Empat Raja, empat negeri,
Di Kuala Kangsar mencemar Duli,
Berbincanglah Tuanku, pendapat diberi,
Agar Melayu memerintah sendiri.

Sultan Ahmad, Raja di Pahang,
Rombongan gajah dan hulubalang,
Merentas hutan dan gunung ganang,
Di Kuala Kangsar, sedia berbincang.

Sultan Suleiman, bersemayam di Jugra,
Perjuang kedaulatan bangsa dan negara,
Bijak berhujah, bijak berbicara,
Mendidik Melayu menjadi perkara.

Yam Tuan Negeri, Tuanku Muhammad,
Muda dan segak, bijak teramat,
Menuntut agar Melayu dimartabat,
Di negeri sendiri, negeri berdaulat.

Sultan Idris, di Perak bertuah,
Bersuara lantang, kembalikan maruah,
Mendidik Melayu di sebuah sekolah,
Menjadi pemimpin, pentadbir berhemah.

The Malay College sekurunlah sudah,
Di Kuala Kangsar nan serba indah,
Warisan bangsa dan negara bermaruah,
Wawasan di Raja sebagai wadah.

Perayaan ke seratus meriah berseri,
Raja-Raja berkenan mencemar Duli,
Bersama rakyat turut merai,
Sejarah dan budaya penghormatan diberi.

Watikah dibawa, niat nan suci
Gajah bertujuh gagah kemari
Sedia menyembah mengabdi diri
Bukti besar kuasa Illahi

Tujuh gajah dihias berseri
Angka nan ganjil dalamnya erti
Tujuh langit berperut bumi
Kuasa Tuhan kita insafi

Menjunjung kasih Duli Tuanku,
Atas sokongan diberi Tuanku,
Menjadi penaung Malay College yang satu,
Semoga Allah beri petunjuk selalu.

Kepada para hadirin sekelian,
Marilah kita sama doakan,
Wawasan dan jasa akan berterusan,
Sekurun lagi MCKK berkorban.

Nukilan Jak Li


Gurindam Melayu Bangsaku 2

April 7, 2009

Melayu bangsaku penegak budaya
berseri hidup diterangi cahaya.

Melayu bangsaku penjunjung warisan
kukuh walau hujan atau kepanasan.

Melayu bangsaku pendaulat agama
kebahagiaan kekal tujuan bersama.

Melayu bangsaku penyubur sikap
kerja beretika bertambah cekap.

Melayu bangsaku penerus agenda
gapai wawasan usaha diganda.

Melayu bangsaku pemelihara bahasa
suara dipadu mantap perkasa.

Melayu bangsaku pembina jati diri
generasi mendatang ampuh berdiri.

Melayu bangsaku pelindung watan
melawan petualang tak gentar ugutan.

Melayu bangsaku pencinta damai
berkat perpaduan muafakat disemai.

Melayu bangsaku pembela bangsa
tidak rela ketuanan binasa.

NAZIM MOHD SUBARI
Mersing, Johor


Gurindam Malangnya Bahasaku

Januari 17, 2009

Bahasa orang dipuja dipuji
bahasa sendiri dicerca dikeji.
dihormati
bahasa sendiri dibiar mati.

Bahasa orang dinilai dihargai
bahasa sendiri diabai dibenci.

Bahasa orang diyakini
bahasa sendiri disangsi.

Bahasa orang dianggap berguna
bahasa sendiri dipandang hina.

Bahasa orang dinobat dipelihara
bahasa sendiri disekat didera.

Bahasa orang dijunjung dijulang

bahasa sendiri dirundung
malang.

Bahasa orang digilap gemilang
bahasa sendiri malap dan
hilang.

Ehsan Jamily
Taman Desa Baru
Melaka


Gurindam Kelebihan Bercakap Benar

Januari 8, 2009

Kalau diamal bercakap benar,
mulia peribadi akhlak bersinar.

Bohong menipu hasutan syaitan,
elok dihindar mengelak kejahatan.

Mahkota diri baik pekerti,
Sahabat taulan senang dekati.

Kata ditutur orang percaya,
bersih hati disirami cahaya.

Tulus bicara tidak berdusta,
tenangnya hidup tanpa sengketa.

Bercakap benar dalam perhubungan,
suasana harmoni kekal berpanjangan.

Bercakap benar bukti kejujuran,
tegak sentiasa tiang kebenaran.

Bercakap benar sepanjang masa,
amalan diperbaiki diampuni dosa.

Bercakap benar sempurna iman,
insan bertakwa hidupnya aman.

Bercakap benar banyak kelebihan,
amal ibadah diterima tuhan.

NAZIM MOHD. SUBARI,
Endau, Johor.


Syair Singapura Terbakar

November 19, 2008

Serta terpandang api itu menjulang,
Rasanya arwahku bagaikan menghilang,
Dijilatnya rumah-rumah serta barang-barang,
Seperti anak ayam disambar helang.

Seberang-menyeberang rumah habis rata,
Apinya cemerlang, tiada membuka mata,
Bunyinya gempar terlalulah gempita,
Lemahlah tulang sendi anggota.

Pakaianku menyalah seperti kertas,
Limau manis pun meletup seperti petas,
Orang menolong pun terlalu pantas,
Merebut barang-barang terlalulah lekas.

Ringgit pun hancurlah seperti timah,
Habislah meleh ke bawah rumah,
Tidaklah tentu barang dijamah,
Pencuri pun mengangkutlah bersama-sama.

Barang yang hendak kubawa pulang,
Beberapa pinggan mangkuk, cawan dan dulang,
Sekaliannya habislah hilang,
Harapnya hatiku bukan kepalang

~ Unknown


Syair Nasihat Kepada Perempuan

November 6, 2008

Demikian wahai lagi perempuan,
Taatlah kepada suamimu tuan,
Jangan menderhaka jangan melawan,
Jadukan dirimu bersifat setiawan.

Jangan sekali berniat khianat,
Apalagi kurang amanat,
Pekerjaan wajin bukannya sunat,
Jika dilawan mendapat laknat.

Pertama di dunia mendapat malu,
Di dalam akhirat tubuh terpalu,
Masyhur khabar ke hilir ke hulu,
Sebab perangai tidak bermalu.

Sangatlah murka Rabbulizzati,
Perintah suami tidak dituruti,
Hendaklah taat bersungguh hati,
Kepada suamimu berbuat bakti.

Jangan takburkan rupamu elok,
Melebihi kebanyakan makhluk,
Menyangka dirimu tiada tertolok,
Jadilah suamimu diperolok-olok.

Jangan sekali takburkan bangsa,
Martabat tinggi di negeri dan desa,
Memandang suamimu seperti rusa,
Sombonglah tuan tutur bahasa.

Tiada menurut apa perintahnya,
Perkataan kasar selalu keluarnya,
Muka dimasamkan di hadapannya,
Jadilah suami pecah hatinya.

Jika diperbuat demikian itu,
Nyatalah kamu syaitan dan hantu,
Hargamu tiada serial batu,
Tiadalah harus dibuat menantu.

Dukalah tuan sehari-hari,
Suami pun benci tiada terperi,
Jika suamimu bijak bestari,
Duduklah dia mendiamkan diri.

Tetapi hatinya rosaklah sudah,
Kerana perbuatanmu yang haram jadah,
Jadilah suamimu berhati gundah,
Tiadalah kamu mendapat faedah.

Hanyalah dari balasan ngeri,
Dimurkai Tuhan waidul kahri,
Mendapat sengsara di dua negeri,
Celaka bertambah sehari-hari.

~Unknown
 


Syair Siti Zubaidah & Perang di China

Oktober 16, 2008

Baik parasnya bukan kepalang
Tubuhnya seperti emas cemerlang
Cahaya durjanya gilang-gemilang
Jika ditentang bagaikan hilang

Lemah lembut manis berseri-seri
Majlisnya tidak lagi terperi
Parasnya seperti anakan peri
Tiada berbanding di dalam negeri

Bertambahlah arif bijak laksana
Bijak bestari akal sempurna
Sifatnya lengkap tujuh laksana
Tiada berbanding barang di mana

Jikalau dicari dengan makrifat
Cukup kepadanya serba empat
Habis kepada sempurna sifat
Bandingnya itu sukar mendapat

Rambutnya panjang hitam lebatnya
Kening beralit dengan hitamnya
Mata hitam sangat hitamnya
Bulu matanya lentik sangat eloknya

Hidungnya mancung lehernya jijang
Pinggangnya ramping dadanya bidang
Loknya elok sederhana sedang
Sedap manis mata memandang

Puteri Zubaidah konon namanya
Patutlah nama dengan rupanya
Di negeri Irak sangat mashurnya
Seorang pun tiada tolok bandingnya
 


Perbilangan Adat Melayu

Julai 27, 2008

Penakek pisau seraut
Ambil galah batang lintubong
Seludang ambil ke nyiru
Setitis jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru.

—————-
Ungkapan ini tidak seharusnya tinggal di dalam lipatan perbilangan adat. Ia harus dihayati dan dijadikan pegangan hidup seluruh masyarakat Melayu kerana di sebalik keindahan bahasa terdapat falsafah yang tinggi yang boleh dijadikan pedoman hidup dan motivasi di dalam mencapai kejayaan. Pemikiran terpenting yang dapat dirumuskan dari ungkapan ini ialah memotivasikan supaya terus memajukan diri dan menuntut ilmu.

Ungkapan ini berpusat kepada seruan untuk berikhtiar dan berusaha juga berdaya kreatif kerana ( yang setitis jadikan laut/ yang sekepal jadikan gunung). Ia menyemaikan nilai positif dan optimis bahawa manusia boleh melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan hidupnya. Kejayaan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan.

Pandangan yang terpancar dari ungkapan ini adalah juga selaras dengan ajaran Islam untuk berusaha, bersabar dan bertawakal. Al- Quran membawa ajaran bahawa manusia mempunyai daya ikhtiar. Semangat inilah yang menjadi faktor yang membawa kemajuan kepada umat Islam seperti yang diperjelaskan oleh Syed Naguib Al-Attas ketika membicarakan peranan Islam di dalam pembangunan tamadun Melayu. Tamadun Melayu dibangunkan oleh semangat yang dibawa oleh al- Quran yang menganggap manusia sebagai “mempunyai daya ikhtiar”.

“Setitis jadikan laut/sekepal jadikan gunung” adalah saranan untuk bekerja kuat mencari rezeki untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Seruan ini dapat disandarkan kepada banyak ayat al-Quran, di antaranya, yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)” (Al-Jumu‘ah; 10).

Alam fizikal bukan sahaja merupakan tempat bagi insan meneruskan hidup tetapi juga merupakan ayat-ayat Tuhan yang boleh dibaca oleh mereka yang mempunyai akal. Manusia diminta mempelajari ilmu mengenai alam di sekelilingnya. Ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia mendapatkan “ilmu’ dengan cara memerhati, menyelidik, mentafsir adalah banyak sekali. Semua ini dirumuskan melalui ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Iqra.

“Alam terbentang jadikan guru” menyatakan bahawa objek-objek alam fizikal adalah petanda-petanda yang memandu untuk memahami makna kejadian atau penciptaan serta keindahan. Mesej penting adalah agar manusia menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Islam menyatakan dengan jelas bahawa “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita”(hadis riwayat Bukhari dan Muslim).