Di Bumi Tercinta Ini ~ Rejab FI

Di bumi tercinta ini
kita menganyam perjuangan
berbekalkan sebuah bahtera
dan sebuah neraca
milik perjuangan sejati:
memartabatkan bahasa ibunda.

Bahasa ibunda adalah bekalan
membangun atma anak-anak watan
meneroka belantara
melayari lautan
menerbangi angkasa kerana kehidupan
mesti dibajak
mesti diteroka.

Di bumi tercinta ini
kita semaikan semangat
bercambah di sanubari anak nusa
bahawa bahasa adalah jati diri bangsa
bahawa bahasa identiti negara.

Wahai anak-anak watan
gemblengkan tekad
bahawa bahasa itulah
memupuk nilai-nilai kehidupan
menyemarakkan azam dan cita-cita
memperkukuhkan tamadun bangsa
memerdekakan diri daripada
pengkhianatan
membebaskan perjuangan
ketamakhalobaan.

Bahasa adalah permata
adalah mutiara
adalah intan baiduri
kerana bahasa mahkota bangsa.

Di mana hak dan harga diri
jika bahasa terkorban dalam arus
globalisasi
di mana hakikat perjuangan sejati
jika hanya memperkukuhkan kuasa
sehingga terkorban perjuangan bangsa?

Kita wajar mengimbau
pembangunan negara berwibawa
lewat bahasa ibunda
membangun ekonomi dan keperibadian
bangsa
membangun pendidikan dan sahsiah
negara.

Wahai anak-anak watan
gemblengkan perjuangan
bahawa kita tidak betah lagi terjajah
bahasa adalah hak mutlak
memperkasakan nusa bangsa
di bumi tercinta ini.

REJAB FI
Perlis.
18 November 2007

2 Responses to Di Bumi Tercinta Ini ~ Rejab FI

  1. Tasya berkata:

    Assalamualaikum …..
    Tasya tertarik hati dengan karya saudara encik Rejab FI ….. jika boleh Tasya ingin mengenali penulisnya . Tasya juga berminat dengan bidang penulisan dan masih dalam proses berlajar .

    Salam perkenalan .

  2. rukman berkata:

    bahasa melambangkan bangsa,jika bahasa tiada tentu hala,hilang jatidiri anak2 merdeka,siapakah yang akan membela nusa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: