Pada Sebuah Watan ~ Rejab FI

Ogos 26, 2008

Jati diri bangsa bagaikan pepohon
pada sebuah watan
akarnya kedaulatan bahasa
batangnya keagungan nilai budaya
dedahannya semangat kecintaan dan perpaduan
dedaunnya rimbunan ketaatan dan kesetiaan.

Pepohon negara yang merdeka dan berdaulat
bahasa adalah akar peribadi bangsa
menjalar pada nurani kehidupan
menyuburkan dedahan pendidikan
menaungi daunan kesejahteraan
pada sebuah negara bangsa.

Batang budaya yang tertegak pada sebuah watan
adalah peribadi yang luhur dan murni
menjulang kecintaan nusa bangsa
di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung.

Dedahan pada sebuah bangsa merdeka
menegakkan pepohon nurani padu dan utuh
membangun ekonomi menyuburkan watan
menyemarakkan ranting perpaduan dan persefahaman.

Dedaunan yang menghijau dan rendang
menyuburkan maruah dan semangat waja
memartabatkan bahasa dan keluhuran perlembagaan
membendung tekad dan keazaman
membasmi hujan petualangan
menaungi mentari keganasan
yang merobek nurani bangsa.

Pupuslah jati diri bangsa
jika akar bahasa tercabut dari pepohon watan
tumbanglah jati diri bangsa
jika batang budaya terbongkar dari perdu perpaduan
terkulailah jati diri bangsa
jika dedahan kecintaan sekah dan patah
kontanglah jati diri bangsa
jika dedaunan ketaatan dan kesetiaan
kering dan kelayuan.

REJAB FI
Perlis.


Di Bumi Tercinta Ini ~ Rejab FI

Februari 26, 2008

Di bumi tercinta ini
kita menganyam perjuangan
berbekalkan sebuah bahtera
dan sebuah neraca
milik perjuangan sejati:
memartabatkan bahasa ibunda.

Bahasa ibunda adalah bekalan
membangun atma anak-anak watan
meneroka belantara
melayari lautan
menerbangi angkasa kerana kehidupan
mesti dibajak
mesti diteroka.

Di bumi tercinta ini
kita semaikan semangat
bercambah di sanubari anak nusa
bahawa bahasa adalah jati diri bangsa
bahawa bahasa identiti negara.

Wahai anak-anak watan
gemblengkan tekad
bahawa bahasa itulah
memupuk nilai-nilai kehidupan
menyemarakkan azam dan cita-cita
memperkukuhkan tamadun bangsa
memerdekakan diri daripada
pengkhianatan
membebaskan perjuangan
ketamakhalobaan.

Bahasa adalah permata
adalah mutiara
adalah intan baiduri
kerana bahasa mahkota bangsa.

Di mana hak dan harga diri
jika bahasa terkorban dalam arus
globalisasi
di mana hakikat perjuangan sejati
jika hanya memperkukuhkan kuasa
sehingga terkorban perjuangan bangsa?

Kita wajar mengimbau
pembangunan negara berwibawa
lewat bahasa ibunda
membangun ekonomi dan keperibadian
bangsa
membangun pendidikan dan sahsiah
negara.

Wahai anak-anak watan
gemblengkan perjuangan
bahawa kita tidak betah lagi terjajah
bahasa adalah hak mutlak
memperkasakan nusa bangsa
di bumi tercinta ini.

REJAB FI
Perlis.
18 November 2007