Melayu – Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

~ Usman Awang

6 Responses to Melayu – Usman Awang

  1. fatin_03 berkata:

    satu puisi melayu yang bagus………….walaupun nadanya mcm menyindir orang melayu yang tdk tahu nak berbahasa dengan elok………..moga puisi yang anda tulis ini akan menyedarkan orang ramai bahawa sebagai orang melayu kita harus menjaga adab supaya kita sentiasa disanjung tinggi oleh orang negara luar……….come on melayu…chaiyok…….

  2. I think that what you published was actually very reasonable.
    However, consider this, suppose you composed a
    catchier title? I ain’t suggesting your information isn’t solid, however what if you added a
    title to maybe get people’s attention? I mean Melayu – Usman Awang | Dunia Penyair ~ Himpunan Puisi Klasik Dan Moden Sepanjang Zaman is kinda plain. You should peek at Yahoo’s front page and see how they write post headlines to grab people to open the links.
    You might add a related video or a related picture or two to grab people excited about everything’ve written. Just my opinion, it would bring your blog a little bit more interesting.

  3. aishah solehah berkata:

    owhhh… memang teraa di hati,walawpun sbnarnye menyindir…

  4. aishah solehah berkata:

    hmm…klaw diberi pluang untuk brtemu dgn seniman2 yang terkenal kan best…alangkah bahgyanya ktka itu…semoga puisi2 yg dhsilkan dpt menyedarkan anak2 mlayu ini… 🙂

  5. Aisyah Tajul berkata:

    Puisi ‘Suara Dari Pusaka’ takde ke? Ke puisi tu jrg org dengar sebab saya tak jumpa lagi puisi tu (karya usman awang juga)

Tinggalkan komen