Beli Buatan Malaysia ~ Usman Awang

Sekiranya kami rakyat negara ini berjanji
membeli barangan buatan Malaysia
Bagaimana pula anda,
Para pemilik para pengarah para pengurus
Syarikat-syarikat pengeluar terbesar Malaysia
membeli dengan wang yang anda terima dari kami?

Kami rakyat bersetuju sekiranya Malaysia
ingin maju dan jaya, pekerja kita
mendapat pekerjaan dengan gaji selesa
maka kami sendiri mesti membeli
dan menggunakan barang buatan negara kami
Ertinya rakyat jelata senantiasa perlu membayar
harga yang agak tinggi untuk mendapat
barangan yang kadangkala bermutu tidak tinggi.
Maka lebihan yang mesti kami bayar ini
membolehkan anda melonggokkan keuntungan besar
di samping memperoleh ganjaran yang juga besar.

Kami rakyat ingin pula mengetahui
Bagaimanakah anda membelanjakan dividen
dan pendapatan dari harga mahal
yang semuanya datang dari saku kami
yang membeli pengeluaran Syarikat anda?

Kami ingin bertanya pula
Adakah anda juga membeli barang buatan Malaysia?
Mari kita mulakan dengan pakaian yang anda pakai
Di manakah pakaian itu dijahit?
Dan pakaian dalam yang menyaluti
bahagian-bahagian penting dan sulit tubuh anda itu
anda beli di mana dan buatan mana?
bagaimana dengan pakaian isteri anda?
Baju dan pakaian dalamnya yang tentu mahal itu
dari jenama apa dan buatan mana?

Bagaimana dengan rumah anda?
Adakah kerusi meja itu hasil tangan tukang Malaysia?
Adakah jubin dan segala perkakas bilik air
dan tandas tempat anda melepas itu diimport?
Dan putera-putera anda, adakah mereka sedang menuntut
di sekolah rendah dan menengah di luar negeri?
Bercakap tentang negara kita yang indah ini
di manakah anda menghabiskan cuti bersama keluarga?
Tentang kekayaan pula, di manakah anda melabur?
Cerahlah masa depan anda!

Orang-orang seperti anda sangat mementingkan kesihatan
Adakah anda mendapat rawatan perubatan di luar negeri?
Adakah anda dan keluarga anda dirawat
dengan biaya Syarikat?
Apakah Syarikat anda menggunakan perkhidmatan
jurubina (arkitek) Malaysia atau jurubina asing,
dan jurubina tempatan sekadar untuk mendapatkan tandatangan mereka saja?

Dan sebagai pelanggan berapakah jumlah
yang perlu anda bayar untuk peguam asing?
Mungkinkah anda begitu baik hati dan pemurah
dengan konsultan asing, tetapi begitu berkira
dan kedekut apabila anda mesti membayar konsultan tempatan?

Pertanyaan lain yang amat dekat dengan hati nurani
saya sebagai penulis, ialah: Pernahkan anda membeli
dan membaca buku puisi, cerita pendek dan novel
yang ditulis oleh penulis Malaysia?
Adakah lukisan yang tergantung di dinding perbadanan,
syarikat atau rumah anda itu ciptaan pelukis
Malaysia atau salinan daripada pelukis-pelukis asing?
Bahasa apakah yang anda gunakan dalam pertuturan sehari-hari?

Pernahkah anda menghadiri teater tempatan
atau mendengar majlis pembacaan puisi
yang semuanya adalah buatan Malaysia?
Saya pasti Syarikat anda akan menyokong derma amal
jika ia ditaja oleh para Menteri dan Diplomat.

Anda pun cukup berjasa untuk membawa masuk
artis asing. Anda sanggup pula membayar
meskipun harganya ratusan ringgit bagi sesebuah
kerusi untuk menonton dan mendengar lagu-lagu
dalam bahasa Itali yang dinyanyikan oleh suara-suara
Amerika, meskipun anda tidak mengerti maknanya.

Begitu hebat,tetapi berapa pula yang telah anda
sumbangkan kepada artis tempatan? Berapa pula
kepada penerbitan drama tempatan yang kita namakan buatan
Malaysia?
Sudah pasti kami memang membeli barang buatan Malaysia
Tetapi anda, anda sendiri bagaimana?
Adakah anda menyokong dan membeli barang buatan Malaysia
atau anda sebenarnya sekumpulan manusia aing
yang memilik pasport Malaysia.

Usman Awang
1984

~ Puisi-puisi Pilihan Usman Awang (Edisi Pelajar)

2 Responses to Beli Buatan Malaysia ~ Usman Awang

  1. Absolute Zero berkata:

    Meaningful

  2. myinsta donatyangkin berkata:

    assalamualaikum saya minat membuat lagu mengubah lagu saya sering mendengarkan lagulagu saya pada orang berdekatan alhamdulilah comment positif saya mulai membuat lagu pada usia 12tahun dan kini saya suda berusia 17tahun , semasa lapang idea membuat lagu tercetus, adaa banyak lagu yg saya Sudah pernah buat. Saya harap hobi saya nih bole mendatangkan income, sebab saya ingin menolong ibu saya, tambahan pula saya suda kehilangan ayah pada tahun 2011.saya sangat memerlukan duit untuk perbelanjaan rumah sewa rumah dan perkara tragedis yg menimpa abang saya pads selasa lalu ia dilangar oleh kereta .Kami sangat memerlukan duit. Jika studio berminat membeli lagu saya. Sila hubungi sayaa. 0196360340 atau bole whatsap saya 0173076071 terimakasih

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: