Puisi Masyitah – Zurinah Hassan

Januari 21, 2010

MASYITAH

Kau tidak pun merasa gentar
melihat kawah Firaun
kau tidak pun teragak-agak
untuk melepaskan bayimu
segala itu telah kau relakan
demi cinta pada Tuhan

Aku tahu Masyitah
keyakinan boleh menghilangkan kesakitan
dan aku pun cukup tahu
keraguan itulah sebenarnya kesakitan.

Zurinah Hassan
(Antologi Keberangkatan)


Apabila Kata-kata Menjadi Sebuah Dosa – Zurinah Hassan

Februari 27, 2009

Ingin kurakamkan segalanya pada malam ini
bagaimana kutidur di dadamu
dan kau cuba mengeringkan airmata
tapi aku tidak dapat bersuara
apabila setiap kata-kataku
telah menjadi sebuah dosa

Bila kau bertanya sesuatu
paling mudah menjawab “tidak tahu”
kerana berkata benar
telah menjadi sebuah dosa

Dan apalagi yang tinggal
selain mulut yang bisu
bila suaraku
telah menjadi merbahaya
dan kata-kata
telah menjadi sebuah dosa.

Zurinah Hassan, 1977
http://zurinahhassan.blogspot.com