Puisi Kebebasan oleh Rahman Shaari

Februari 4, 2010

Kebebasan memilih
telah kauajukan aku ke sini
meyakinkan akalku mengerti
makna diri.

Tapi bagaimana
perjalanan panjang lorong-lorong bersilang
sedang pergikah aku atau pulang?

Jalan ini katamu jalan semalam
tapi likunya berganti
dan sungai beralih haluan
aku jugalah kurang sedia
memahami perubahan.

biarlah aku di sini
berteduh mengeluh di bayang kebosanan
sambil menghitung waktu lepasku
oleh kebebasan.

Rahman Shaari
Selangor, 25 Januari 1976.


Sajak: Izinkan Aku Meminjam Klisemu, Angin

Disember 23, 2009

Derumu
menempiarkan taut awan
menempiaskan lebat cemar
melampiaskan hawa dendam –
leluasakah monsun
pembohongan?

Pada celah rekah hembusan
sebalik kersik daun bersingkapan
lewat pohon tak tercondongkan –
kebenaran pasti
kedengaran!

Amrul Hafeez Bakri
Dungun, Terengganu


Sajak Oda Indah Di Vientiane

Disember 21, 2009

Sajak Oda Indah Di Vientiane

Kukirim kuntuman bunga raya
kebanggaan bangsa
untuk patriot dan srikandi
sejati
yang tegar berjuang atas
nama tanah airku tercinta
meraih gelar kemenangan
yang dirindu
sungguh terasa indah sekali
seperti bulan di Vientiane
menyayangi kami.

Kualunkan
bait-bait indah ini
mendukungi oda indah atas
Inayat-Nya
memberi petunjuk
kita bukan lagi lalang
mudah merunduk lemah
ditiup angin
menuruti rencah setiap
kepayahan
sebelum kita rentas jambatan
pelangi.

Menangislah, sepuas-puasnya
wahai pejuangku
agar air matamu
tidak tumpah lagi
dalam meneruskan iltizam diri
teruskan langkahmu
usah gentar lawan yang
dinanti
akan kukirim lagi
kuntuman bunga raya ini
agar mekar mewangi meliputi
seluruh bandar Vientiane

BAIYAZID MUSTAFFA
SMK Dato’ Mohd Taha,
Gemencheh
Ahad 20 Disember 2009 21