(Sajak) Kesibukan – Zahari Hasib

Januari 19, 2010

Kesibukan
ialah hantu yang mengejar
dan memburu kita
pada tiap petang dan malam.

Ia berlegar di rumah
mengepung di jalan raya
dan membelit di pejabat.
Justeru itu pegawai yang sibuk
pengurus yang sibuk
dan pemimpin yang sibuk
memerlukan beberapa setiausaha
termasuk seorang darinya mesti
perempuan cantik, manis dan ayu.

Kesibukan adalah gaya hidup zaman ini
tanpa sibuk-sibuk
kita akan dianggap sebagai
manusia yang tidak membuat kerja.

Mungkin agaknya petani tua di pendalaman
atau nelayan kurus
dipinggir pantai timur sahaja yang
kelihatan tenteram dan
dapat merasa aman
justeru kemiskinan serta penderitaan
hidup telah menjadikan mereka
tak punya waktu
sibuk!

Zahari Hasib


Sajak Oda Indah Di Vientiane

Disember 21, 2009

Sajak Oda Indah Di Vientiane

Kukirim kuntuman bunga raya
kebanggaan bangsa
untuk patriot dan srikandi
sejati
yang tegar berjuang atas
nama tanah airku tercinta
meraih gelar kemenangan
yang dirindu
sungguh terasa indah sekali
seperti bulan di Vientiane
menyayangi kami.

Kualunkan
bait-bait indah ini
mendukungi oda indah atas
Inayat-Nya
memberi petunjuk
kita bukan lagi lalang
mudah merunduk lemah
ditiup angin
menuruti rencah setiap
kepayahan
sebelum kita rentas jambatan
pelangi.

Menangislah, sepuas-puasnya
wahai pejuangku
agar air matamu
tidak tumpah lagi
dalam meneruskan iltizam diri
teruskan langkahmu
usah gentar lawan yang
dinanti
akan kukirim lagi
kuntuman bunga raya ini
agar mekar mewangi meliputi
seluruh bandar Vientiane

BAIYAZID MUSTAFFA
SMK Dato’ Mohd Taha,
Gemencheh
Ahad 20 Disember 2009 21


Puisi Konserto Dari Washington

Disember 14, 2009

KONSERTO DARI WASHINGTON

Maka digubah notasi perang
hasil karya diktator dahulu
menjadi lagu irama tenang
hambar sekadar ditiup bayu.

Solo beretorik bow presiden
desik armistis alegro indah
harmoni wasilah tali adan
lalu memukau pentas siasah.

Baharu bahagian pertama
sudah bergetar meniti Norway
belum habis konserto Obama
sudah bertepuk dengan kurnia.

Biarlah hakikat dimainkan
kebatilan dijunjungi jangan.

ALIFF MUSTAKIM
Permatang Rambai, Penaga


Sajak: Pengutip Bunga Hayat

Disember 7, 2009

Kitalah anak-anak pelaut
dengan beban di bahu
dengan beban di punggung
sepanjang abad turun-temurun
meredah ombak
meredah gelombang
mengutip bunga-bunga hayat
mengutip bunga-bunga buih
yang pecah di nabir mentari;
meredah angin ribut taufan
mengutip bunga-bunga kudrat
yang tertanam di bawah pasir pulau
yang tertanam di bawah batu pulau.

Kitalah anak-anak pelaut
tidak pernah mengah mengutip
bunga-bunga
derita yang bersarang
di tangga subuh dan tangga malam
ada kala mengirim harum asin laut
ke setiap kali erangan mimpi pahit
yang melintas di dada bulan.

NAAPIE MAT
Kg. Besut, Tumpat.


Puisi Songsang – Latiff Mohidin

Oktober 6, 2009

Songsang
(buat tok awang)

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Terutama
di perayaan tahun
seperti hari ini

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk

Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur

Apabila orang
melepaskan merpati
aku tabur padi

Orang lain
telah merdeka
aku belum

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Aku hanya
ingin
mengingatkan

Latiff Mohidin
Kota Bharu, Nov 1976.


Gagal Menjadi Orang

Julai 7, 2009

Kiranya gagal menjadi orang
lebih baik menjadi orang-orang
berbaju compang disuruh menentang
kawanan pipit datang menyerang
sawah itu yang luasnya sekangkang.

Lebih baik menjadi orang-orang
apabila suri hati yang tersayang
menjadikan kamu kaya hutang
tidak segan silu dia membentak
mahu dibuntuti segala kehendak.

Lebih baik menjadi orang-orangan
daripada tunggul di tengah laman
anak-anak sendiri ingkari kata
teguran ditepis bersanggah nista
membajai induk, dedalu melata.

Hinakah aku menjadi orang-orang
terpacak kaku hodoh dipandang
siang malam diam di bendang
menakutkan maling si pencuri huma
paling hina pun, aku juga berguna!

Kiranya gagal menjadi orang
hanya dua yang jadi pilihan
sama ada menjadi orang-orangan
atau jadi-jadian binatang musang
siang tidur, malam pula jembalang.

Abd Razak @ Rezeki Othman
Gua Musang, Kelantan


Puisi Aku Mengejar Bayang

Julai 7, 2009

AKU MENGEJAR BAYANG

Ketika melihat gambar kenangan
terimbas kenangan semalam
ketika berjuang meletakkan diri
sama taraf dan kedudukan bersama para
pejuang
yang aku belum kecapi.

Bayaran kepada perjuangan ini
tidak tertebus dengan panggilan suara
memanggil dalam minit-minit waktu
bayaran wang belum tertunai
aku asyik mengejar bayang.

Aku lemas dalam tipu daya nafsu
mencari pemuas yang belum tentu
yang dipagari bahan-bahan teknologi
menyelongkar lubuk hati yang haus.

Masihkah ada ubatnya
tubuh ini sudah gersang
mencari cahaya dan kemanisan
jauh menusuk nafas keinsafan
di sebalik diri yang menunduk mencari cahaya.

Terdampar di wilayah asing
diranduk rasa rindu
ditegah oleh kuasa pemutus
terpaksa mematuhi surat pekeliling
itulah bayang yang dipaksa dihadapi.

Suatu ketika itu
hati ini mahu mencabar kuasa itu
akan tetapi hanya hati yang keras
memaksa diri melakukan itu dan ini
duduklah diri mengejar bayang yang belum
pasti.

Norhaidi Mohd Nordin
Kuaters Guru
SJKC Telemong, Karak