Seluk pekasam

April 14, 2010

Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

DUA orang rakan serumah, Yani dan Tiara pergi ke pasar tani di ibu kota. Sedang mereka melihat-lihat jualan ….

Yani: Tengok tu, ada pekasam ikan sungai laa.
Tiara: Apa dia? Pekasam?!
Yani: Ha … ah! pekasam, lama tak makan. Nak beli la sebungkus.

Tiara: Kau tau makan ke? Aku tak pernah try pun ….

Yani: Huih!! Sedap tu … goreng.

Tiara: Goreng gitu aje?
Yani: Kalau nak sedap lagi, goreng celup telur … potong bawang besar ngan cabai masak … hussy!!! sedap! Kena dengan nasi panas, mentua lalu belakang pun tak nampak!!!

Tiara: Macam ikan masin jugalah ek?

Yani: Masak macam ikan masin le lebih kurang, boleh gak gulai lemak dengan pucuk ubi ke, nangka muda ke, pisang muda ke. Tapi rasanya lain sikit …

Tiara: Lain?

Yani: Ya laa, ikan masin tu rasanya masin, tapi pekasam ni lagi sedap … ada rasa masin dan masam, tu sebab namanya pekasam, bukan pekasin, he he he. Dagingnya pun lembut dan gebu, tulangnya rapuh … bila digoreng, rangup dengan tulang-tulang sekali.

Tiara: Elok aje dalam plastik, macam mana nak seluk?

Yani: Seluk?

Tiara: Iya! Seluk … kan ada kata seluk sampai pangkal lengan?!

Yani: Ooo … itu dulu … dulu-dulu memang nak ambik pekasam ni kena seluk, sebab peram dalam tempayan.

Tiara: Kenapa sampai pangkal lengan lak?

Yani: Kalau pakasam tu dah nak habis, memang le kena seluk tempayan tu sampai pangkal lengan baru boleh dapat ambik. Dah tinggal sikit … kalau masih banyak, masih penuh tak perlu le sampai pangkal lengan. Kenapa ni? Kau nak merasa menyeluk pekasam ke? Orang sekarang dah tak pakai tempayan lagi dah untuk peram ikan buat pekasam. Opah aku dulu buat pekasam memang peram dalam tempayan. Masa tu mana ada bekas simpanan yang lain. Sekarang ni pakai bekas plastik je, kemudian terus masuk beg plastik untuk dijual … tak de lagi peram dalam tempayan lama-lama. Kalau dulu kadang-kadang sampai tahan disimpan bertahun, itu yang dinamakan pekasam tahun.

Tiara: A … laa, aku tanya ni bukan sebab apa … kan ada peribahasa yang kata, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Tu yang aku nak tau tu ….

Yani: Ee, alaa, peribahasa ke? Aku ingat kau nak tau macam mana nak buat pekasam!

Tiara: Aku tak fahamlah peribahasa ni, tang kata kena seluk sampai pangkal lengan tu!

Yani: Ya laa … pekasam ni berbau, bukan le busuk sangat, tapi berbau …boleh tahan le juga. Masa ambik pekasam dalam tempayan tu, kena jari dan tapak tangan pun tetap berbau juga. Kalau dah alang-alang berbau jari tu, biar le seluruh lengan tu berbau, baru le berbaloi untuk cuci.

Tiara: Kalau tak silap … maksud peribahasa itu ialah melakukan sesuatu kerja itu mestilah bersungguh-sungguh hingga mendapat hasil.

Yani: Betul tu … tapi tak berapa tepat!

Tiara: Tak tepat?

Yani: Aah! Tak tepat … bukan semua kerja.

Tiata: Habis tu, kerja apa pulak? Ada kerja-kerja tertentu pulak yang sesuai guna peribahasa ni? Cikgu aku masa sekolah dulu tak pernah cakap pun.

Yani: Kau boleh fikir sendiri … pekasam ni jenis benda yang ada bau … bau yang tak berapa sedap, diibaratkan dengan kerja yang tak berapa elok atau nak senang cakap … buat kerja jahat.

Tiara: Jadi, sesuai untuk buat kerja jahat macam menyamun, mencuri le yek?

Yani: Aaa … lebih kurang macam tu le. Kalau kau songlap duit kompeni, alang-alang songlap seratus dua, baik sapu berjuta sebab seratus pun salah juga, baru le berbaloi-balaoi …

Tiara: Hey! Kau tuduh aku songlap duit kompeni ke?

Yani: Idak le … aku bagi misalannya aje … tapi yang kau marah sangat ni kenapa? Memang ada buat ke?

Tiara: !!!!!!

Peribahasa
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan bermaksud kalau sudah terlanjur melakukan kejahatan, biarlah diperoleh hasil daripada perbuatan tersebut.


Koleksi Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa Dan Maksud

Januari 17, 2010

Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Bbiar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat