Puisi: Hawa yang Istimewa

Mei 29, 2010

Duhai kaum Hawa…
Sungguh mulia tempatmu
Terlalu istimewa sifatmu
Tak ternilai kudratmu
Meski masih bisa tertawa
Di kala saat-saat duka
Gahnya air mata itu
Di sebalik keindahan alis matamu
Itulah kelemahanmu
Namun percayalah
Titis kaca itu adalah tulang kekuatanmu jua
Yang bisa runtuhkan ego Adam
Yang bisa runtunkan jiwa Adam

Senyumlah wahai Hawa
Ukirlah seikhlas wajahmu
Sucikanlah ruang hatimu
Kerna ku jua tau
Tulus budimu
Semulus kasihmu
Yang bisa menggoncang dunia
Yang bisa membuka mata semesta

Terima kasih Tuhanku
Aku lahir ke dunia sementara ini
Dalam dunia Hawaku…

Duhai kaum Adam…
Hargailah kasih sayang Hawa
Yang tiada galang ganti
Yang dicurahkan bersama doa
Tanpa Hawa
Dunia ini akan hilang hiasnya
Akan pergi serinya
Tinggallah Adam di sini
Menghitung kesalan di benak hati
Membiarkan Hawa melangkah sepi…
Jangan biarkan Adam dan Hawa terpisah akhirnya…

Nukilan:
No-rulesz Has’z


Sajak Si Karang Yang Hiba

Mac 3, 2010

Kaku lenggok gemalai si karang
tersadai di permatang pasir pantai
sedih memandang senyum si rumpai
segar menari tarian dunia laut
diusik anak-anak ikan ceria
di balik batu si kerang giat mengintip
ghairah memandang keriangan di dasar

Itulah yang bermain di fikiran
bagaimana harus ia kembali
mengecapi saat-saat gemilang

Kemilau mentari
menerjah ke mata si karang yang hiba
sebentar lagi diam duduk si karang berpindah
ke rumah besar tentunya di sana
di persada hiasan
dipamerkan bakal diberi pujian

Si karang tambah hebat merintih kesedihan
tika ucapan selamat tinggal rakan-rakan sepermainan…

Ophan Bunjo
Lahad Datu 2010


Puisi Kebebasan oleh Rahman Shaari

Februari 4, 2010

Kebebasan memilih
telah kauajukan aku ke sini
meyakinkan akalku mengerti
makna diri.

Tapi bagaimana
perjalanan panjang lorong-lorong bersilang
sedang pergikah aku atau pulang?

Jalan ini katamu jalan semalam
tapi likunya berganti
dan sungai beralih haluan
aku jugalah kurang sedia
memahami perubahan.

biarlah aku di sini
berteduh mengeluh di bayang kebosanan
sambil menghitung waktu lepasku
oleh kebebasan.

Rahman Shaari
Selangor, 25 Januari 1976.


Sajak: Izinkan Aku Meminjam Klisemu, Angin

Disember 23, 2009

Derumu
menempiarkan taut awan
menempiaskan lebat cemar
melampiaskan hawa dendam –
leluasakah monsun
pembohongan?

Pada celah rekah hembusan
sebalik kersik daun bersingkapan
lewat pohon tak tercondongkan –
kebenaran pasti
kedengaran!

Amrul Hafeez Bakri
Dungun, Terengganu


Sajak Oda Indah Di Vientiane

Disember 21, 2009

Sajak Oda Indah Di Vientiane

Kukirim kuntuman bunga raya
kebanggaan bangsa
untuk patriot dan srikandi
sejati
yang tegar berjuang atas
nama tanah airku tercinta
meraih gelar kemenangan
yang dirindu
sungguh terasa indah sekali
seperti bulan di Vientiane
menyayangi kami.

Kualunkan
bait-bait indah ini
mendukungi oda indah atas
Inayat-Nya
memberi petunjuk
kita bukan lagi lalang
mudah merunduk lemah
ditiup angin
menuruti rencah setiap
kepayahan
sebelum kita rentas jambatan
pelangi.

Menangislah, sepuas-puasnya
wahai pejuangku
agar air matamu
tidak tumpah lagi
dalam meneruskan iltizam diri
teruskan langkahmu
usah gentar lawan yang
dinanti
akan kukirim lagi
kuntuman bunga raya ini
agar mekar mewangi meliputi
seluruh bandar Vientiane

BAIYAZID MUSTAFFA
SMK Dato’ Mohd Taha,
Gemencheh
Ahad 20 Disember 2009 21


Sajak: Pengutip Bunga Hayat

Disember 7, 2009

Kitalah anak-anak pelaut
dengan beban di bahu
dengan beban di punggung
sepanjang abad turun-temurun
meredah ombak
meredah gelombang
mengutip bunga-bunga hayat
mengutip bunga-bunga buih
yang pecah di nabir mentari;
meredah angin ribut taufan
mengutip bunga-bunga kudrat
yang tertanam di bawah pasir pulau
yang tertanam di bawah batu pulau.

Kitalah anak-anak pelaut
tidak pernah mengah mengutip
bunga-bunga
derita yang bersarang
di tangga subuh dan tangga malam
ada kala mengirim harum asin laut
ke setiap kali erangan mimpi pahit
yang melintas di dada bulan.

NAAPIE MAT
Kg. Besut, Tumpat.


Puisi Songsang – Latiff Mohidin

Oktober 6, 2009

Songsang
(buat tok awang)

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Terutama
di perayaan tahun
seperti hari ini

Apabila semua orang
telah sedia duduk
aku bangun berdiri

Apabila orang
bangun bertepuk
aku duduk

Apabila orang
ghairah berbincang
aku tidur

Apabila orang
melepaskan merpati
aku tabur padi

Orang lain
telah merdeka
aku belum

Maafkan aku
kalau aku sering saja
berlaku songsang

Aku hanya
ingin
mengingatkan

Latiff Mohidin
Kota Bharu, Nov 1976.


Koleksi Puisi Khadijah Hashim – Mencabar Kepayahan

September 6, 2009

MENCABAR KEPAYAHAN

Krisis ekonomi baru virus baru
muncul pantas tanpa diduga
itu tembok berduri minta disapa
rugi jika tidak berani mencuba
malu jika tidak bereksperimen
mencabar akal mencari yang murni
di alam semesta diatur selesa
sedangkan langit belum runtuh
matahari masih terbit di Timur
murai merbah terus bernyanyi
rambutan pulasan ranum di dusun
setiap yang wujud berfungsi
sederap langkah akan ditanya
kenapa murung berputus asa?

Mari mendaki si Gunung Tahan
gunung yang hendak ditakluki
juga semangat diri sendiri
sama sukarnya menakluki Everest
tiada emas di puncak sana
pulangnya tanpa janji duit seguni
cuma emas lain dimiliki
lulus ujian mencabar kepayahan.

KHADIJAH HASHIM
TTDI, Kuala Lumpur