Pantun Melayu

Disember 31, 2009

Koleksi Pantun

Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis kiri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri.

Suluh-menyuluh Teluk Emas
Panas sejuk angin utara
Ribut taufan baik berkemas
Antara belum jadi sengsara.

Baik-baik berlayar malam
Arus deras karangnya tajam
Cari-cari mualim yang faham
Di situ banyak kapal tenggelam.

Lancang kuning kapal pusaka,
Kisah sedih kekejaman raja.
Walau kering selat melaka,
Budi mu tuan tidak dilupa.

Burung merpati hinggap di laman,
Cenderawasih tinggi di awan.
Tabahkan hati tetapkan iman,
Tak akan hilang arah tujuan.

Ikan berenang ke dalam lubuk,
Ikan belida dadanya panjang.
Adat pinang pulang ke tampuk,
Adat sireh pulang ke gagang.

Pengawal istana memegang tombak,
Puteri raja duduk berinai.
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.

# Terima kasih Byam Teng dan BH atas kiriman pantun.


Pantun Perpisahan

Mac 16, 2007

Pantun Perpisahan

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai

Malam ini menanam jagung
Malam esok menanam serai
Malam ini kita berkampung
Malam esok kita bercerai

Hari ini menugal jagung
Hari esok menugal jelai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai

Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Orang Aceh sedang sembahyang
Hari Jumaat tengah hari
Pergilah kasih pergilah sayang
Pandai-pandailah menjaga diri

Mana Manggung, mana Periaman
Mana batu kiliran taji
Tinggal kampung tinggal halaman
Tinggal tepian tempat mandi

Bintang Barat terbit petang
Bintang Timur terbit pagi
Jika tidak melarat panjang
Ada umur ketemu lagi

Dari mana hendak ke mana
Tinggi ruput dari padi
Tahun mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi?

Dian tiga lilin pun tiga
Tanglung tergantung rumah laksamana
Diam juga sabar pun juga
Ada umur tidak ke mana

Tuan puteri pergi ke Rasah
Pulang semula sebelah pagi
Kita bertemu akhirnya berpisah
Diizin Tuhan bersua lagi

Rujukan:

Persuratan Melayu 2
Pantun Melayu Sastera Rakyat
Pantun Serbaneka
Pantun Adat dan Resam Manusia
Kumpulan Pantun Melayu, DBP 1983

——————————————————————————————