Sekadar Di Tangga Pentas

Oktober 15, 2010

Di tangga pentas
menggertak menggegar
ramai berdendang
menuntun di tangga kambing
jerihlah bibir-bibir mengukir
bersimpang siur seloka-seloka
liuk gemalai merdu
di seli nista sumbang
entahkan harapan jelata
entahkan bala menimpa.

Tiba-tiba ramai berkebun
bertanamlah cili mereka
ada yang tanam tebu
ada yang tanam belimbing
ada yang kekal menanam sirih
beraya berkunjung
menyendeng tanaman mereka
entahkan harapan jelata
entahkan bala menimpa.

Senyum kambing
di tangga kambing
kecundang bertandang
terus kecundang
surai bersalamlah mereka
meninggalkan pentas
meninggalkan tangga kambing.

Moga-moga reda di persada.

HaizamOLEK
20703102010

Nama Pena: HaizamOlek
Email: Haizam1@yahoo.com
URL : http://haizamolek.wordpress.com/


Sajak : Kita Mudah Lupa

April 21, 2010

Kita Mudah Lupa

Lupakah kita anak umpama
sehelai kain putih yang dicorakkan dengan agama
dihias moral dalam dada.

Lupakah kita anak bukan kain putih untuk dikapan
sebelum ajalnya tiba

Lupakah kita akan pesan ibu dan bapa
buat baik berpada-pada
buat jahat jangan sekali

Lupakah kita kini kita telah dewasa
adakah ibu kita mencubit hingga terluka
ayah mencucuh api sehingga kudis menjadi buta
malah kita masih lagi bernyawa.

Lupakah kita syurga dan neraka pegangan kita
hari kiamat menjelang juga
jangan mudah berasa selesa
janji Tuhan itu pasti
hanya kita maha pelupa
setiap dosa pasti diseksa.

Karya:
Aziana,
Banting, Selangor.


Koleksi Puisi – Perjuangan Tiada Henti

Julai 13, 2009

Sedetik waktu berlalu
mengingatkan diri
pada sebuah perjuangan suci
menegakkan bahasa ibunda tercinta
mekar subur mewangi
di persada dunia.

Kalimah-kalimah lantang terentang
membangkitkan semangat juang
daulatkan bahasa!
Bahasa menegakkan bangsa!
Bahasa lambang perpaduan!

Seketika kita dikejutkan
dengan impian dan gagasan
bahasa kita tidak lagi sepadan
jatuh tersungkur
hanyut dibawa
arus globalisasi tanpa sempadan.

Perjuangan tiada henti
kita semakin berani
bersatu melahirkan hasrat
bahasa perlu dijaga
demi mendaulat maruah bangsa.

Sorakan semangat jati diri
melaung-laung di segenap pelosok
menyambut kemenangan
sebuah perjuangan
menegakkan bahasa tercinta.

Cintai Bahasa Kita.

Nurain Hanis
Seri Rawa, Kedah.