Suasana ~ Usman Awang

Ogos 3, 2007

Seorang perempuan bersamfu hijau
dari tingkap dapur rumahnya berteriak
dan bertanya sambil membungkus Nien Kau
lalu tertawa mengangkat tudung periuk
wap panas menjulang harum kanji nasi
Dan dari rumah sebelah terdengar suara lunak
perempuan berbaju kurung menjawab senyum
sedang jari-jarinya lincah mengisi ketupat
dan sesekali menyudip serunding di kuali
segar selera dicecah baunya yang wangi.

Dari kejauhan suara-suara muda yang riang
pekikan dan tertawa di antara letupan mercun
dan kedua ibu saling memandang dan tersenyum
tanpa seruan pura-pura dari pentas-pentas politik
hati mereka bersalaman dan saling berpelukan
atas kesederhanaan rasa dan nasib yang sama.

Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan
mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan
dan dari kedua telaga hati berkocak mesra
mengucapkan Kong Hee dan Selamat Hari Raya
 
Usman Awang
1965

( Dipetik dari Antologi Puisi Bintang Mengerdip, DBP )


Mahasiswa ~ Usman Awang

Ogos 2, 2007

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.
 
Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani
 
Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.
 
Usman Awang, September  1961


Cinta Ladang Getah ~ Usman Awang

Julai 30, 2007

Jika ladang-ladang getah
yang kita tumpahkan kasih ini
tiada menerima lagi dan terpisah
kita akan membunuh ketakutan,
sebab bumi adalah terbentang di mana-mana
untuk kita menyemai benih
kemanusiaan yang telah ternoda
 
Tidak ada yang dapat membunuh cinta ini,
tidak ada, sebab pembunuhnya telah mati.

USMAN AWANG – Antologi Duri & Api


Ibuku ~ Usman Awang

Julai 27, 2007

IBUKU mempunyai seribu mimpi
Yang dipikulnya tiap hari
Sambil menimangku ia pun menyanyi:
Timang tinggi-tinggi,
Dapur tak berasap,
Bila besar nanti,
Jangan masuk lokap.

Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah
Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah
Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah.
Hatinya selalu teringat
Suaminya yang mati melarat
Setelah dikerumuni lintah darat

Ibuku tangannya kasar berbelulang
Mengangkat bata-bata bangunan
Wajahnya dibedaki debu berterbangan.
Ibu tidak pernah mengenal supermarket
Tinggal di bilik sempit
Upahnya buruhnya sangat sedikit

Ibuku tidak punya TV
Tidak berpeluang pula menontonnya
Tak pernah mengikuti laporan parlimen
Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk
Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan
Atau pertunjukan masak-masakan
Dengan resepi yang sangat menakjubkan

Ibuku setiap pagi berulang ke kilang
Bekerja dengan tekun hingga ke malam
Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam
kaburlah mata ibu diselaputi logam

Ibuku tidak tahu tentang hak asasi
Apalagi tentang seni dan puisi.
Jika ditanya makna melabur
Nama-nama saham yang menjanjikan makmur
Atau tentang dasar pandang ke timur,
Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur
Yang melimpah kanji beras hancur

O ibuku sayang
Di negerimu kau menumpang.
Sesekali kudengar ibu menyanyi
Pantun tradisi caranya sendiri:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Tak boleh jadi menteri

Usman Awang

( Dipetik dari Puisi-puisi pilihan Usman Awang)


Pesan ~ Usman Awang

Julai 26, 2007

Jika kau berikan dengan kedua tanganmu
yang mengalir dari hati dan kandungan
dari ujud rasa yang maha agung
akan ku tatang ia di dulang hatiku.
 
Telah kita tunggu sejak pertama kali hati menguntum
tiada terusik oleh segala selisih rasa
sebab ia tinggi mengepak di puncak menara
dengan kedamaiannya dalam jalinan setangkai senyum.
 
Bila ia menjelma dengan suaranya memanggil nama bapa
bisikkan padanya segala kisah yang tercipta
antara ibu dan ayah yang mewujudkan nama setia.
 
USMAN AWANG – Singapura, Jan 1964
Antologi Duri & Api


Salji Hitam ~ Usman Awang

Julai 25, 2007

dedaunan pine
di remang bulan merah
                berjajar
mengisi sesak kota
bergerak dan bergerak
seperti perpohonan di mata macbeth
di sini salji lain warna
                hitam
                    Hitam
                        HITAM

warna paling gagah
itulah warnanya
tidak gugur dari bintang
bukan turun dari langit
mengalir dari arus sejarah
tulang-tulang
                    HITAM
membajai ladang-ladang subur
amerika makmur
salji hitam
                    HITAM
hitam sekali warna
gaung gema
                WE SHALL OVERCOME
di selatan di utara
                    di mana saja
mengusapi luka-luka sejarah nenek-moyang
hari ini
                    sekarang ini
                        paling gemilang
                            salji hitam.
 
 
~ Usman Awang


Satu Mei ~ Usman Awang

Julai 24, 2007

Merekalah menyusun lapis-lapis besi waja
Merekalah membina batu-bata
Membancuhnya dengan titik peluh
– bangunan tinggi itu masih jua meminta
        lalu diberikanlah nyawanya.

Merekalah yang menyedut udara kotor
Racun gas itu berbaur di rongga
menjalari saraf pernafasannya
menghentikan detak jantungnya
–segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Merekalah membunyikan mesin-mesin kilang
debu dan serbuk logam berterbangan
hari demi hari berkumpul bersarang
di jantung dan paru-parunya
–jentera kilang itu masih lagi meminta
        lalu kudunglah jarinya
        lalu kudunglah tangannya
        lalu kudunglah nyawanya
segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Merekalah menggali perut bumi yang sakit
lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga
tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati
menimbusi membungkus tubuh para pekerja
melindunginya dari pemerasan kejam
–upah yang diterimanya sekadar beras segenggam.

Merekalah mewarisi pusaka zaman
seluar sehelai baju bertampal
tikar buruk di sudut bangsal
tulang selangka dapat dibilang.

Mereka kini menyedari kekuatan diri
Mengubah wajah sebuah negeri
Menukar nama seorang menteri
Di matanya api di tangannya besi. 
 
~ Usman Awang


Majlis Amanah Rakyat ~ Usman Awang

Julai 23, 2007

Sebuah nama keramat
Lahir dari percikan amarah
suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya
masih menadah tangan
menjadi peminta di tanah airnya
yang hampir sepuluh tahun merdeka.

Bermula di zaman penjajah dikenal dengan RIDA-Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan
Suatu bayangan tipis cara Inggeris melonggarkan
Kritik tajam rakyat terhadap dasar penjajahan. 

RIDA yang berdetik pada tahun 1953
Ketika bara nasionalisma marak menyala
Tidak mampu menampung ghairah rakyat merdeka
Suara Bumiputera yang semakin keras bergema
Kemunduran dan kemiskinan yang ketara.

Tahun seribu sembilan ratus enam puluh lima
Kongres Ekonomi Bumiputera Yang Pertama
Merumuskan segala duka nestapa bangsa
Bahawa kita memiliki telaga
Mengapa masih memegang talinya
Sedang orang mencapai timba
Maka segala gaung amarah dileburkan 
Menjadi sumpah amanah suatu wawasan     
Pada detik 1966 yang menentukan 
RIDA pun dikerandakan dalam sejarah 
Untuk sebuah nama baru yang keramat  
Majlis Amanah Rakyat  
Kini lebih 25 tahun telah berdetik
MARA mencapai kedewasaan usia  
Mungkinkah bakal tiba Kongres Ekonomi Bumiputera  Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan 
Menilai kembali keberkesanan 
AMARAH dan Amanah Rakyat yang dipahatkan

~ Usman Awang


Doa ~ Usman Awang

Julai 5, 2007

( Khas untuk puteri-puteri TKC )

Jika malam ini tiada bulan
tanah Seremban
kau masih tetap bercahaya
dari sinar mata dan bening wajah
pelajar-pelajar dari istana ilmu
Kolej Tunku Kurshiah

Hari ini manis belajar dari buku
dan suara mesra dari guru
bersedialah untuk esok
yang menunggu kedatanganmu
untuk belajar dari hidup
mungkin bahaya dari kemuliaan darjat
mungkin air mata dan pedih luka

Tapi apapun arus gelombangnya
berdiri di bawah bendera keberanian
di bumi kebenaran kemanusiaan
laksana permata yang mengukir kehalusan budi

Maha wangi istana ilmu
bening ombak sambut dan tirai selendang
daulat seorang permaisuri
keramat seorang wali
semoga dalam rahmat dan lindungan Ilahi…

~ Usman Awang

Dedikasi buat puteri-puteri Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.


Beli Buatan Malaysia ~ Usman Awang

Julai 4, 2007

Sekiranya kami rakyat negara ini berjanji
membeli barangan buatan Malaysia
Bagaimana pula anda,
Para pemilik para pengarah para pengurus
Syarikat-syarikat pengeluar terbesar Malaysia
membeli dengan wang yang anda terima dari kami?

Kami rakyat bersetuju sekiranya Malaysia
ingin maju dan jaya, pekerja kita
mendapat pekerjaan dengan gaji selesa
maka kami sendiri mesti membeli
dan menggunakan barang buatan negara kami
Ertinya rakyat jelata senantiasa perlu membayar
harga yang agak tinggi untuk mendapat
barangan yang kadangkala bermutu tidak tinggi.
Maka lebihan yang mesti kami bayar ini
membolehkan anda melonggokkan keuntungan besar
di samping memperoleh ganjaran yang juga besar.

Kami rakyat ingin pula mengetahui
Bagaimanakah anda membelanjakan dividen
dan pendapatan dari harga mahal
yang semuanya datang dari saku kami
yang membeli pengeluaran Syarikat anda?

Kami ingin bertanya pula
Adakah anda juga membeli barang buatan Malaysia?
Mari kita mulakan dengan pakaian yang anda pakai
Di manakah pakaian itu dijahit?
Dan pakaian dalam yang menyaluti
bahagian-bahagian penting dan sulit tubuh anda itu
anda beli di mana dan buatan mana?
bagaimana dengan pakaian isteri anda?
Baju dan pakaian dalamnya yang tentu mahal itu
dari jenama apa dan buatan mana?

Bagaimana dengan rumah anda?
Adakah kerusi meja itu hasil tangan tukang Malaysia?
Adakah jubin dan segala perkakas bilik air
dan tandas tempat anda melepas itu diimport?
Dan putera-putera anda, adakah mereka sedang menuntut
di sekolah rendah dan menengah di luar negeri?
Bercakap tentang negara kita yang indah ini
di manakah anda menghabiskan cuti bersama keluarga?
Tentang kekayaan pula, di manakah anda melabur?
Cerahlah masa depan anda!

Orang-orang seperti anda sangat mementingkan kesihatan
Adakah anda mendapat rawatan perubatan di luar negeri?
Adakah anda dan keluarga anda dirawat
dengan biaya Syarikat?
Apakah Syarikat anda menggunakan perkhidmatan
jurubina (arkitek) Malaysia atau jurubina asing,
dan jurubina tempatan sekadar untuk mendapatkan tandatangan mereka saja?

Dan sebagai pelanggan berapakah jumlah
yang perlu anda bayar untuk peguam asing?
Mungkinkah anda begitu baik hati dan pemurah
dengan konsultan asing, tetapi begitu berkira
dan kedekut apabila anda mesti membayar konsultan tempatan?

Pertanyaan lain yang amat dekat dengan hati nurani
saya sebagai penulis, ialah: Pernahkan anda membeli
dan membaca buku puisi, cerita pendek dan novel
yang ditulis oleh penulis Malaysia?
Adakah lukisan yang tergantung di dinding perbadanan,
syarikat atau rumah anda itu ciptaan pelukis
Malaysia atau salinan daripada pelukis-pelukis asing?
Bahasa apakah yang anda gunakan dalam pertuturan sehari-hari?

Pernahkah anda menghadiri teater tempatan
atau mendengar majlis pembacaan puisi
yang semuanya adalah buatan Malaysia?
Saya pasti Syarikat anda akan menyokong derma amal
jika ia ditaja oleh para Menteri dan Diplomat.

Anda pun cukup berjasa untuk membawa masuk
artis asing. Anda sanggup pula membayar
meskipun harganya ratusan ringgit bagi sesebuah
kerusi untuk menonton dan mendengar lagu-lagu
dalam bahasa Itali yang dinyanyikan oleh suara-suara
Amerika, meskipun anda tidak mengerti maknanya.

Begitu hebat,tetapi berapa pula yang telah anda
sumbangkan kepada artis tempatan? Berapa pula
kepada penerbitan drama tempatan yang kita namakan buatan
Malaysia?
Sudah pasti kami memang membeli barang buatan Malaysia
Tetapi anda, anda sendiri bagaimana?
Adakah anda menyokong dan membeli barang buatan Malaysia
atau anda sebenarnya sekumpulan manusia aing
yang memilik pasport Malaysia.

Usman Awang
1984

~ Puisi-puisi Pilihan Usman Awang (Edisi Pelajar)