Mengadap Raja Segala Raja ~ Hj Asaari Mohamad

April 10, 2007

Sudah menjadi kebiasaan kalau rakyat mengadap raja,
raja memanggilnya lebih dahulu mengadapnya
Sejak dipanggil belum pun mengadapnya,
orang yang dipanggil berbagai-bagai perasaan
Rasa cemas, takut, bimbang, risau, fikiran tidak menentu dibuatnya
Kalau tidak beradab tentulah dimarahnya, kalau tidak pandai mengadap alangkah malunya
Semakin dekat hari hendak mengadap raja dia semakin cemas, semakin bimbang, semakin risau apa hendak dibuat serba tidak kena
Mengapa perasaan itu begitu rupa?
Kerana kita tahu hendak bertemu raja, raja itu siapa?
Dia berkuasa, boleh memarahi kita
Tapi takut dengan raja lebih mengatasi dari segala-galanya
Itu baru raja dunia, sejenis kita, sama-sama lemah macam kita
Sama-sama dicipta oleh Tuhan kita
Cuma dia raja, berkuasa boleh menghukum kita, datang bimbang dan takut dengannya
Kalau hendak mengadap Tuhan macam mana sepatutnya?
Tuhan adalah Raja Segala Raja
Raja dunia Akhirat, raja jenis manusia pun Dia cipta
Hamba mengadap Tuhan, juga Tuhan memanggil hambaNya lebih dahulu sebelum mengadapNya
Tuhan memanggil melalui azan dan iqamah untuk memberi pengetahuan dan pengisytiharan mengadapNya
Bahkan sebelum diseru setiap hamba sudah tahu sebelum mengadap
Mestilah diseur lebih dahulu
Kalau benar-benarlah kita kenal siapa Tuhan
Kenal kebesaranNya, kehebatanNya, kemahasucianNya, keagunganNya, berkuasaNya, penglihatanNya, pendengaranNya, pengetahuanNya, kehendakNya, hukumanNya, redhaNya, kasih sayangNya dan lain-lain lagi sifatNya
Sebelum diseru kita sepatutnya sudah tidak menentu perasaan
Setelah diseru melalui azan dan iqamah sepatutnya semakin takut dan cemas perasaan
Semakin dekat hendak bersembahyang semakin bimbang sebenarnya
Sepatutnya begitulah kalau kita benar-benar kenal Tuhan
Tapi biasanya tidak begitu, kita tidak terasa apa-apa macam hendak berjumpa kawan sahaja
Kerana itulah tidak hairan kebanyakan orang bersembahyang sekalipun imam dan ulama
Tidak memberi kesan kepada jiwa pada peribadi dan kehidupan
Umat Islam hari ini tidak memberi kekuatan apa-apa hasil sembahyang
Sama ada di segi mental mahupun jiwa
Sembahyang umat Islam hari ini tidak mencegah kemungkaran, terutama kemungkaran batin seperti sombong, riak, ujub, megah, pemarah, dengki, dendam, tamak, bakhil, tidak ada rasa bersama, tidak ada tolak ansur, fikir diri sendiri
Mengapa terjadi begitu?
Kerana tidak cukup kenal Tuhan, kenal Tuhan yang asasnya sahaja
Sembahyang pun hanya sekadar tahu syarat, rukun, sah, batal sahaja
Padahal sembahyang adalah ilmu yang global
Sembahyang adalah lautan ilmu
Sembahyang terhimpun ilmu aqidah, syariat dan tasawuf
Falsafah sembahyang terlalu tinggi, ilmu yang tersirat
Bersifat maknawi dan rohani
Ilmu sembahyang yang lebih mendalam tidak pernah diajari
Bahkan para ulama pun sudah tidak tahu dan tidak mengerti
Itulah yang menjadi masalah pada hari ini

Nukilan:
Ustaz Hj Asaari Mohamad
30.11.2004
Menjelang tidur


Masyarakat Islam Idaman ~ Hj Asaari Mohamad

April 8, 2007

Aku inginkan umat Islam kembali takut dan cintakan Tuhan
Kerana kekuatan kita adalah pada Tuhan
Tuhan adalah segala-galanya buat umat Islam
Aku rindukan perpaduan umat Islam yang tidak kunjung tiba
Kerana perpaduan salah satu daripada kekuatan umat Islam
Aku mengimpikan umat Islam hidup berkasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama
Bertolong Bantu, tahu-menahu, bela-membela, di sinilah keselamatan, kebahagiaan dan keharmonian umat Islam
Aku mengharapkan bilakah orang-orang kaya umat Islam menjadi bank kepada masyarakatnya
Di sinilah rahsianya lahir kasih sayang dari orang miskin kepada orang-orang kaya
Supaya yang miskin dan yang kaya tidak ada jurang
Agar hilang hasad dengki dari orang miskin kepada orang kaya
Dan orang kaya pula lahir timbang rasa dan jadi pembela
Dan juga orang kaya adalah menjadi tonggak masyarakatnya
Aku bercita-cita ulama menjadi obor kepada kehidupan umat Islam
Mereka adalah penyuluh jalan di malam yang gelap gelita dengan kezaliman, kemunduran dan kesesatan
Aku mengharapkan mereka ulama tidak hanyut bersama oleh orang ramai yang dihanyut oleh cintakan dunia
Ulama adalah ikutan, contoh, suri teladan buat umat manusia terutama umat Islam
Kalau ulama rosak, tidak berperanan, rosaklah pembesar-pembesar dan rakyat jelata
Dunia akan menjadi huru-hara, porak-peranda, kemungkaran akan bermaharajalela di dalam kehidupan manusia
Aku mengangan-angankan bilakah pemuda-pemudi yang menjadi tiang negara, berakhlak mulia, pemalu, bersopan-santun, memberi tenaga kepada agama, bangsa dan negara
Mereka adalah asset negara
Mereka juga adalah benteng pertahanan agama, bangsa dan negara
Mereka juga adalah pemimpin pelapis selepas pemimpin yang ada
Aku sangat mengkehendaki agar orang miskin berlaku sabar, tidak keluh-kesah, tidak meminta-minta dan tidak hasad dengki dengan orang kaya dan yang berada
Aku rindukan cerdik pandai membangun dan membuat kemajuan, tidak mementing diri
Mereka dapat membangunkan tamadun material untuk kemakmuran
Seperti juga ulama dapat membangunkan tamadun rohani untuk keselamatan, kasih sayang dan keharmonian
Alangkah indahnya hidup seperti semua golongan tadi takut dan cintakan Tuhan dan berperanan di dalam kehidupan
Kalau terjadi yang aku impikan, maka jadilah dunia ini syurga sebelum Syurga
Alangkah indahnya kehidupan ini
Aku tidak tahu bilakah agaknya akan terjadi
Tuhan sajalah yang tahu

Nukilan:
Ustaz Hj Asaari Mohamad
29.11.2004
Menjelang tidur


Tuhan Keperluan Bersama ~ Ustaz Hj Asaari Mohamad

April 5, 2007

Tuhan adalah keperluan bersama manusia
Dia adalah segala-galanya untuk manusia
Tapi ramai manusia tidak sedar Dia adalah keperluan manusia bersama
Maka manusia pun mencari keperluan murahan yang tidak berharga mengganti keperluan pertama dan utama
Kerana itulah keperluan murahan dimiliki tidak puas-puasnya
Selain susah mendapatkannya, susah menjaganya, susah mengurusnya, susah membawanya, susah mengawalnya
Kita jaga dia bukan dia jaga kita, kita urus dia bukan dia urus kita, susah kita dibuatnya
Keperluan pertama dan utama sebenarnya adalah Tuhan yang Maha Esa pencipta manusia
Kita dapat Tuhan kita dapat segala-galanya
Tidak dapat Tuhan kita kehilangan segala-galanya sekalipun yang lain segala-galanya kita ada
Bawalah Tuhan ke mana-mana, Dia keperluan kita di waktu bila pun dan di waktu di mana-mana
Di waktu musafir, di masa bermukim, jangan lupa kita bawa Dia bersama
Ke hutan, ke pecan, jangan lupa bawa Dia
Di waktu keseorangan, di masa ramai, bawa Tuhan bersama
Di waktu tidur, di waktu jaga, di waktu rehat, di waktu bekerja, mestilah bersamaNya
Kita jadikan Dia kawan setia
Membawa Tuhan ke mana-mana sangat mudah dan senang kalau faham ilmunya
MembawaNya tidak perlu kepada tenaga fizik kerana Dia bukan benda dan fizik
Kerana itulah kita bawa Tuhan ke mana-mana tidak perlu tenaga
Bahkan berkat membawa Tuhan ke mana-mana meringankan lagi tenaga kita
Bagaimana membawaNya?
MembawaNya mudah dan senang sahaja jika faham caranya dan tahu ilmunya
Kita bawa Tuhan dengan akal fikiran, jiwa dan perasaan kita
Kita bawa Dia dengan nafsu kita yang berkemahuan itu di mana sahaja
Kalau berjayalah kita membawa Tuhan ke mana-mana sungguh beruntung kita
Dia jaga kita, Dia tadbir kita, Dia mengurus kehidupan kita
Dia jaga keselamatan kita
Dia mendengar kehendak dan rintihan-rintihan kita
Jika Dia memberi nikmat kepada kita menghiburkan kita
Sekali-sekala Dia susahkan kita, jika kita faham susah pun menggembirakan kita
Sungguh bahagia bersama Tuhan, kerana Dia kawan setia kita di mana-mana
Membawa dan berkawan dengan selain Tuhan menyusahkan kita
Adakalanya dia khianat dan mencelakakan kita
Hingga terhina kita dibuatnya
Bawalah Tuhan ke mana-mana, dia adalah keperluan hidup kita
Dia adalah kawan setia kita, bawalah Tuhan ke mana-mana
Rahsia ini sudah terlalu ramai manusia melupakannya bahkan jahil tentangnya
Kerana itulah manusia hidup ramai yang menderita
Kalau tidak menderita fizik, menderita jiwa….

Nukilan:
Ustaz Hj Asaari Mohamad
17.12.2004
Menjelang tidur 
 


Semua Milik Tuhan ~ Ustaz Hj Asaari Mohamad

April 3, 2007

Seluruh yang wujud yang dapat dilihat mahupun tidak adalah milik Tuhan
Langit dan bumi dan seluruh isinya kepunyaanNya
Harta yang engkau milik, ilmu yang ada pada engkau, pangkat yang engkau sandang semuanya milik Tuhan
Bahkan diri engkau pun kepunyaanNya
Tuhan yang mewujudkan Tuhanlah yang empunya
Cuma apa yang ada pada kita itu sama ada yang bersifat benda mahupun yang bersifat maknawi Tuhan pinjamkan
Kalau semuanya milik Tuhan kita hanya sebagai pemegang amanah sahaja
Kalau begitu kepunyaan Tuhan itu bolehkah kita gunakan sesuka hati
Bukan sahaja Tuhan tidak membenarkan sesuka hati, akal kita pun tidak membenarkannya
Bukankah sudah sama-sama bersetuju di antara akal dengan Tuhan sepertilah orang simpankan barang kepada kita ia adalah kepunyaannya
Apakah barang itu boleh kita gunakan sesuka hati?
Tentu tidak
Kita akan gunakan mengikut apa yang dia pesankan kepada kita bukan?
Harta kita, tenaga kita, hakikatnya adalah kepunyaan Tuhan
Kepunyaan kita hanyalah sebagai nisbi sahaja disandarkan sahaja kepada kita
Akal fikiran kita, ilmu kita hakikatnya kepunyaan Tuhan yang ia bersifat maknawi
Bahkan apa yang ada pada kita lahir dan batin adalah kepunyaan Tuhan
Tuhan hanya pinjamkan sahaja kepada kita
Bahkan diri kita pun kepunyaan Tuhan
Dan dipesankan kepada kita, gunakan mengikut kehendak Tuhan, bukan kehendak kita
Kalau begitu mana boleh kita kata: “Harta aku terpulanglah kepada aku, apa aku hendak buat, terpulanglah kepada aku”
Setiap yang kita miliki akan ditanya nanti bagaimana menggunakannya
Bilamana penggunaannya tidak sesuai dengan kehendak Tuhan, nerakalah jawapannya
Kerana itulah kalau manusia faham konsep milik ini tidak ada manusia yang susah di dunia
Yang tidak punya pun akan terbela
Kerana yang punya pandai mengguna kepunyaannya di tempat yang betul
Iaitu membela orang yang tidak punya
Sebenarnya setiap manusia yang Tuhan hidupkan sudah sedia rezeki dan sebagainya
Yang tidak bernasib baik mungkin kecederaan, cacat, kemalangan tetap ada rezekinya
Tapi di tangan orang kaya, orang kaya pasti membela mereka
Kalau tidak orang kaya telah melakukan penzaliman sesama manusia

Nukilan:
Ustaz Hj Asaari Mohamad
16.10.2004
Selepas tarawih
 


Nafsu Dalam Diri ~ Ustaz Hj Asaari Mohamad

Mac 27, 2007

Nafsu adalah orang jahat
Di dalam kerajaan dan masyarakat diri
Ia adalah penjenayah-penjenayah yang sangat jahat
Membawa kerosakan di dalam dan di luar diri
Kalau kerajaan dan masyarakat di dalam diri tidak kuat, guru dan pemimpin tidak ada wibawa, kejahatan nafsu akan bermaharajalela
Jika dia bermaharajalela dia akan gunakan rakyat di dalam diri untuk kejahatannya
Rakyat adalah anggota lahir (jawarih)
Seperti tangan, kaki, mata, telinga, hidung, mulut, kemaluan dan lain-lainnya
Nafsu akan gunakan anggota lahir (rakyat di dalam diri) untuk kepentingannya
Akal sebagai guru atau pemimpin tidak mampu pula memimpin nafsu, nafsu terus jahat
Raja di dalam diri pun sudah tidak ada wibaw, tidak mampu menjaga rakyat diri
Kalau pemimpin tidak mampu memimpin, raja pun sudah digoda oleh nafsu
Maka nafsu telah bertukar menjadi raja, raja pula jadi bonekanya
Lebih-lebih lagi akal sebagai guru dan pemimpin dapat digunanya, binasalah kerajaan dan rakyat diri
Yang berkuasa di dalam diri adalah orang jahat iaitu nafsu
Apabila nafsu jahat, berkuasa sebagai raja mengganti raja
Raja karenahnya banyak, perangainya bertukar ganti
Adakalanya marah, ego, sakit hati, benci, dendam, megah, hendak berhibur, hendak bersenang-senang
Dia hasut nafsu, untuk menunaikan kehendaknya
Nafsu arah rakyat di dalam badan melaksanakan kehendak raja yang bekerjasama dengan nafsu
Maka rakyat diri pun bertindak menjadi jahat kerana arahan nafsu dan raja
Maka rakyat di dalam diri pun melakukan pelbagai jenayah
Tangan jadi tukang pukul, tukang bunuh, tukang curi, rompak
Mata jadi mata keranjang mencari peluang bertindak
Telinga mencuri-curi pendengaran untuk mencari berita membuat jahat
Mulut mengata, menfitnah, mengadu domba, mencerca, memarah
Kemaluan melacur, merogol, meliwat, lesbian, zina
Kaki berjalan ke tempat yang hendak membuat jahat
Akibatnya bukan sahaja rakyat di dalam kerajaan dan masyarakat diri rosak
Tapi masyarakat di luar diri pun menjadi rosak dan huru-hara
Begitulah kejahatan nafsu apabila tidak terdidik
Raja di dalam diri dapat dipengaruhi, rakyat di dalam diri dapat digunanya
Kerana akal guru atau pemimpin di dalam diri sudah tidak berperanan
Nafsu bukan sahaja menjadi raja bahkan berlagak menjadi Tuhan
Maka seluruh rakyat di dalam diri pun bertuhankan nafsu

Nukilan:
Ustaz Hj Asaari Mohamad
13.10.2004
Menjelang Maghrib/menjelang tidur


Takutilah Tuhan ~ Hj Asaari Mohamad

Mac 25, 2007

Takutilah Tuhan, Dia adalah segala-galanya
Dia tempat kita bergantung bahkan seluruh makhlukNya
Kuasa adalah di tanganNya, Dia boleh buat apa saja
Apa yang Dia lakukan Dia tidak peduli siapa
Dia buat dengan bijaksana, dengan hikmahNya
Jangan tanya apa yang Dia takdirkan, merekalah yang akan ditanya
Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki
Positifkah, negatifkah, menggembirakankah, menyedihkankah Dia peduli apa
KuasaNya mutlak, penuh di dalam kekuasaanNya
Tiada siapa yang menghalangNya
Dia mengadakan Dia jugalah yang mentiadakan
Dia menghidupkan, Dia juga yang mematikan
Dialah yang memberi hidayah, Dia juga yang menyesatkan
Adakalanya diberi hidayah sampai ke hujung
Adakalanya hidayah di awal, di hujung disesatNya
Adakalanya di awal disesatNya, di hujung diberi hidayah
Tidak kurang juga di awal lagi hingga kesudahnya
Ada orang miskin kemudian dikayakanNya
Ada orang kaya kemudian dimiskinkanNya
Ada orang dimuliakan kemudian dihinaNya
Ada orang dihinaNya kemudian dimuliakanNya
Ada orang sakit sepanjang masa
Ada yang sakit di awal di akhirnya disihatkanNya
Ada orang disihatkan di awal disakitkan kemudiannya
Ada orang disihatkan sepanjang masa
Ada orang ditetapkan fikirannya, kemudian dirosakkan fikirannya
Ada orang selepas dibala, ditarik balanya
Ada orang aman di awalnya dibala diakhirnya, Tuhan peduli apa
Tuhan boleh buat apa sahaja mengikut kehendakNya
Ada orang awal beriman kemudian dikafirkanNya
Ada orang awal kafir di akhirnya diberi iman selamatlah dia
Ada orang awal akhirnya kafir, tidak kurang juga awal akhir beriman
Terpulanglah kepada Tuhan kerana Dialah yang menentukan
Ada orang berkuasa ditarik balik kuasanya jadi orang biasa
Ada orang biasa diberi kuasa terkenallah dia
Ada orang dimuliakan kemudian dihina, ada orang dihinakan kemudian dimuliakan
Tuhan adalah segala-galanya yang baik ada pada Tuhan yang jahat juga ada padaNya
Dialah yang menentukan segala-galanya mengikut kehendakNya
Oleh itu takutilah Tuhan kuasa ditanganNya
Dia boleh buat apa sahaja
Ya Allah! Ya Tuhan kami!
Takdirkan kebaikan kepada kami

Nukilan:
Ustaz Hj Asaari Mohamad

27.11.2004
Menjelang Maghrib