Advertisements
 

Diri Dalam Tetapi ~ A Aziz Deraman

Disember 2, 2007

Diri ada keberanian
tetapi tiada kejujuran
diri ada kesungguhan
tetapi tiada keikhlasan
antara berani jujur sungguh ikhlas
tetapi tiada satu tindak berbalas.

Engkau kuat pantas berlari
tetapi tiada kaukejari pahala diri
engkau hebat melayari samudera
tetapi tiada jasa mengasuh manusia
engkau harapkan malam jadi siang
tetapi tiada peduli anugerah Tuhan
engkau lihat mentari dan nyaman bulan
tetapi tiada tekuni fitrah alam
engkau inginkan sejahtera kehidupan
tetapi tiada hayati makna kebajikan
engkau kuasai segenap penjuru kuasa
tetapi tiada pernah kembali kepada-Nya
diri dalam tetapi
tetapi dalam diri
engkau dalam tetapi
tetapi kekal tetapi.

A AZIZ DERAMAN
Putera Permai,
Selangor
28 Mac 2007

Advertisements

Jiwa Bersaudara ~ A Aziz Deraman

Mei 5, 2007

Apalah erti semuanya ini
tatkala muncul ujian sejari
kita bertikai membakar bestari
hilang hormat diri di gelora tenang
karam akal budi di segara matang
hina sukma tegang dirasuk adu domba
kenapa diri mudah terpengaruh
oleh suara segelintir hasrat keruh
yang mahu tegakkan bendera kalbu
akan tinggi berkibar ke langit nafsu
suara ilmuwan di bibir ulama sabar
bukankah mereka orang yang lapar
orang lapar ini orang yang marah
orang yang marah ini orang gila
bukankah kita jiwa bersaudara
kenapa tidak bertemu semeja?

~ A AZIZ DERAMAN


Arus Fikiran ~ A Aziz Deraman

April 26, 2007

Hulu ke hilir mudik menongkah
pasang surut arus fikiran bertelingkah
adalah air dan api berombak di darat
besar gelombang alunan ke laut niat
sesekali terpaksa kukeraskan laungan
di celah kita antara beza pandangan
itu bukan makna kita berantakan.

Selagi gelora jiwa kasihkan tanah watan
semak samun ditebas belantara ditebang
bina jalan yakin maju langkah ke depan
di gerak zaman kita bentuk rupa nusa
rata wajah makmur di bumi merdeka.

Akan kita hilir ke kuala bakti
kekadang berpisah sanubari
akan kita mudik ke hulu fikir
kekadang sama tuju batin zahir.

A AZIZ DERAMAN
Sibu – Daro, Sarawak


Suara Sakti ~ Aziz Deraman

Mac 1, 2007

Sayu hatiku melihat wajahmu
membawa seribu makna pilu
perkasa hasrat di puncak gunung
mulai berderai ke bawah gaung
kata bibir tiada sama kata kalbu
bahasa malap di jiwa penguasaku
jadi ia sepantun buah kepayang
dimakan mabuk dibuang sayang
apabila lidah kebenaran pada orang
apabila yakin suara sakti pada wang
apabila pertaruhkan budi pada teknologi
apabila maju tidak cintai hak sendiri
akan kita lihat lokan terdampar
mutiara hanyut di serata dasar
berebut pantai dengan laut dalam
berfikir akal dengan nafsu dipandang
rahsia malapetaka dipanggil datang
hilang suara sakti di bibir peradaban.

A AZIZ DERAMAN
Menara DBP, Kuala Lumpur