Puisi Hari Terakhir Sebuah Hutan – Muhammad Hj. Salleh

Maut tiba di hujung gigi gergaji
dengan duri jerit yang menyerampang angkasa
dan merah matahari
membenam ke padat isi kayu
yang tersentak oleh sakit dan bising asing
dunianya memulas kebiasaan, aneh seperti pitam
getah mengalir, zatnya meniadakan waja
tergetar perdu dan akar berterbangan
udaranya diharumkan oleh wangian sehutan
langit bersaksi dengan mata bening.

rebah cengah
rebah meranti
rebah merbau
rebah pulai
rebah seraya
rebah nyatuh
rebah resak
rebah halban
rebah nibung
rebah rotan

runtuhan sekeluarga pohon, yang berusiakan kurun
yang indah dan yang besar dalam bayang
setelah berkampung sejuta tahun
di lembah daun dan sungai hujan.

edaran alam berputar perlahan
dengan peka pada rentak musini dan matahari
dengan rasa hadir di urat akar dan goyang pucuk
setelah letupan kuat dan gelimpangan kayu panas meniup
ke lubang udara, tersiatlah kewujudan.

gugur bunga seungu pagi
semerah tebing seputih awan dan seperang batang
gugur putik dan buah di julaian
bertitik pada pusat bunga atau penuh semusim
gugur secakerawala warna
seratus jalur hijau yang menjadi peribadi daun
gugur juga bulan yang tersangkut di dahan
cahaya yang menuliskan perbezaan
gugurlah pagi, gugurlah petang dan gugurlah malam.

gugur berdesir kelembutan yang melelah dari pucuk
melayang menipis kabus rahsia alam
patah ruyung imbangan, sejak hutan meresap ke tanah
lunturlah keindahan senyap yang ditayangkan oleh siang
bisu daun, bisu ranting, tiada nyanyian atau sahutan
tiada rusa atau ungka, tiada wajah berkawan
tiada denyut suara pelanduk, tiada pernyataan.

hikayat penuh hutan
ditamatkan oleh sepasukan lori yang bertayarkan angkuh
sekumpulan pemotong gajian yang memakai kesedihan di matanya.

dan seorang pembalak gemuk
yang berdiri di gurun merah kontang – dunia akan datang.

(Muhammad Hj. Salleh, 1989)

One Response to Puisi Hari Terakhir Sebuah Hutan – Muhammad Hj. Salleh

  1. pusaka malam berkata:

    kini telah semakin banyak hutan yg menangis angkara tangan-tangan insani..benarlah kata Pencipta ‘telah binasa bumi dan laut angkara tangan2 manusia'(al-Rum 41)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: