Di pergelangannya: Gelang platina
Tujuh musim memain gerak. Ketika
Ia menabur roti ke padang – sedang
Gagak-gagak berebutan. Kusibak
Kilat senyumnya! Fikir jernih
Di matanya! Apakah hidup hanya
Doa. Sebelum dan sesudah
Memberi ajaran. Dunia
Yang tak selesai dendam
Perkelahian dan tingkah!
Ia mengetuk pintu ke pintu
Memberi dan meninggalkan
Tasbih – Mawar. Witir di hujung
Tangis perpisahan
Yang perlukan
Doanya!
Ia melangkah dan mengheret jubah
Mendaki dan menuruni – Doaku
Adalah untuk mereka yang takut
Gelita malam setelah bosan pada
Cerah siang. Minum, air kasih ini
Duhai manisku. Inilah doa murni
Tuhan telah meletakkan sayang
Tuhan hulurkan Cinta. Keajaiban
Yang tak perlu kau tanya!
Gagak-gagak hinggap di telapak tanganya
Roti masih ditebar. Aku cuba mencelah di
Gerak bayang jubah.
Prof. Madya. Dr. Siti Zainon Ismail
Kosi, India, Mac 1985
Idea puisi ini hasil kunjungan saya di Old Delhi , India sempena acara Valmiki Poetry Reading (Mac 1985). Dalam perjalnan ke Taj Mahal kami singgah di sini untuk minum – coffee break. Angin menderu, kami santai saja sambil mengunyah sandwich. Burung gagak bertebangan dan saling berebutan roti ketika kami melempar ke arah gerombolan gagak. Betapa baik hati kumpulan sang penyair, berkongsi makanan. Termasuk seorang pendeta Hindu, sambil membaca puisi dan bernyanyi lalu menebar potongan roti, yang memang tidak dihabisi kerana ingin berkongsi dengan sang gagak. Saya terlitas, terharu , terkenang di tanah air kita ada pesta menembak gagak. Gagak dituduh pengotor, pada hal yang membuat kotoran adalah manusia sendiri. Inilah doa untuk keharmonian kehidupan manusia dan kehidupan lain ciptaan Allah SWT.
boleh tak nak tahu makna disebalik puisi Doa ni..