Disolek cantik digelar taman
kuhirup udara segar di waktu pagi
sesegar daun keladi menakung embun
sesekali kucemas diacah monyet jinak
sesekali terhibur mendengar suara unggas
ah! sungguh ikhlas nyanyianmu tiung
lontarkan suaramu wahai si murai
jangan malu jangan segan si riang riang
nyaring suara katak dari lopak
berteriak bagai tidak pernah sakit tekak
ini lagu damai kita kongsi bersama
merdu di telingaku jelas tidak sumbang
Dingin nyaman memenuhi taman
ketika rimbun buluh kuning disapa angin
lembut melambai rinduku
dibawa terbang
ke tanah kelahiran jauh di selatan
pagi ini aura kampung pindah ke sini
Terima kasih datuk bandar
kerana sejuring tanah ini tidak diusik
membiarkan pokok membesar
tidak ditebang
sehingga esok dan lama lagi
Khadijah Hashim
TTDI, Kuala Lumpur