Biografi Usman Awang ( 1929-2001 )

Usman AwangSudah ditakdirkan Ilahi, Malaysia akan kehilangan dua manusia berjiwa besar Ramadhan ini. Belum sedih hilang oleh kemangkatan almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masyarakat seni tanahair menerima pula berita sedih pemergian Dato Usman Awang, penyair berjiwa rakyat pada 29 November lalu.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail di mana bersemadinya dua Sasterawan Negara, Keris Mas dan kini Tongkat Warrant. Penulis-penulis yang kelihatan muncul antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A.Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

Saya kira ini suatu catatan kecil tentang Dato Usman Awang. Saya tidak boleh mengakui rapat dengan beliau tetapi pertemuan tiga kali dengan Dato Usman, dua di antaranya untuk program dokumentari Ilham yang ditayangkan di RTM 1 membuatkan saya bangga kerana menjadi semacam wakil dari penulis generasi 90 an yang terpisah dari beliau yang sering uzur.

Di kamar Dato Usman saya lihat terpampang gambar-gambar beliau dengan pemimpin pembangkang seperti Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah, ketika ini juga Dato Usman memberitahu saya yang beliau tidak sabar menanti antologi puisi Dari Derita Bangsa yang memuatkan puisi terakhir beliau berjudul ‘Saudara Anwar Ibrahim’ diterbitkan (silal ihat artikel saya untuk kakiseni berjudul Tongkat Sakti Yang Berani).

Dato Usman bercakap panjang hari itu. Beliau nampak letih tetapi masih bersemangat untuk bercerita kepada Imri, Tan, Roshihan dan saya sendiri. Antara lain Dato Usman memberitahu yang beliau bukan pengasas ASAS 50 seperti yang pernah ditulis dalam buku-buku ilmiah. “Saya cuma seorang penggerak. Setiausahanya saja.”

Bila ditanya mengapa beliau berhenti menjadi polis dan memilih untuk menjadi penulis lantas berhijrah ke Singapura, Dato Usman menjawab, ‘Sebahagian besar jawapannya sudah saya rakamkan dalam Tulang-tulang Berselerakan (novel tunggal beliau; penulis) tetapi sebab utamanya ialah saya tidak boleh menjadi seorang polis yang memukul dan menembak orang sesuka hati tanpa perikemanusiaan. Jawatan polis adalah jawatan yang tidak serasi dengan saya. Saya lihat ada antara mereka yang menembak petani Cina begitu sahaja dengan alasan kominis dan menerbalikkan barang-barang peniaga kecil di tepi jalan.’

Dato Usman juga kecewa dengan keadaan bahasa Melayu di negara ini. Puluh tahun selepas peristiwa Perarakan Keranda 152 yang diterajui antara lain oleh beliau, penggunaan bahasa Melayu kian merosot dan Dato Usman berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”

Dato Usman juga menyatakan rasa kesalnya oleh pengaruh filem Hindustan di tanahair dan kepada generasi muda. “Cucu saya yang kecil juga tahu menyanyi lagu Hindustan seperti Kuch Kuch Hota Hai. Di Singapura dahulu, sudah ada pengaruh begini dan ASAS 50 segera menyatakan sikap kita, tetapi GAPENA nampaknya tidak berbuat apa-apa terhadap kemasukan budaya asing ini.”

Dato Usman juga menyatakan sesuatu yang saya kira agak mengejutkan. “Pemberian anugerah Seniman Negara oleh Perdana Menteri itu sebenarnya satu yang saya tidak tahu (Dr Mahathir dengan kerjasama Kumpulan Utusan pernah memberikan anugerah ini dalam tahun 1999). Jika tahu saya sudah tentu akan mengelak dalam suasana begitu (kala itu isu Shit masih panas dan kebanyakan rakan-rakannya dalam parti oposisi begitu keras mengkritik kerajaan). Saya tidak diberitahu pun apa-apa mengenai kedatangan Dr Mahathir. Saya berasa terpedaya. Tahu-tahu sudah ada gambar diambil dan disiarkan esoknya.”

Bila saya tanya mengapa beliau tidak membuat bantahan kemudiannya, Dato Usman memberitahu, “Biarlah. Memang Harakah ada menghubungi saya untuk mendapatkan cerita sebenar, tapi saya uzur, saya tak mahu memanjangkan cerita, nanti ia berlarutan dan kesihatan saya terus terganggu.”

Dato Usman juga hampa kerana tidak banyak penulis menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Soal keadilan dipinggirkan dengan begitu hebat “Mesti tulis, mesti tulis perkara yang benar. Jangan diam, biar pun diketepikan orang sekarang tetapi saudara akan mendapat perhatian kemudian. Jangan diam. Susah untuk menjadi penulis dan lebih susah untuk menjadi penulis yang berani. Bagi saya seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap. Kalau tak berani tak payah jadi penulis, beritahu rakan-rakan muda yang lain. Ini nasihat saya.”

Dato Usman nyata gemar bercerita tentang Dato Seri Anwar, “Beliau adalah rakan kepada penulis. Ketika beliau di puncak kuasa, penulis dimartabatkan dengan begitu tinggi. Saya pernah dibayar tiga ribu untuk membaca satu puisi di Kementerian Kewangan. Dia benar-benar menghargai penyair. Susah untuk mendapat pemimpin seperti itu.”

Allahyarham Usman Awang lahir di Kuala Sedili Johor pada 12 Julai 1929. Beliau pernah menjadi petani, budak pejabat, polis, pembaca pruf, dan editor Dewan Sastera (kemuncak dalam karier beliau). Menerima anugerah Sasterawan Negara dalam tahun 1983, SEA Write Award 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya 1983, Usman menghasilkan lebih 200 buah puisi dan drama pentas beliau yang paling dikenang orang tentulah Tamu di Bukit Kenny dan Uda & Dara.

Perbicaraan kami diperhatikan oleh seorang lagi Sasterawan Negara waktu itu, Profesor Muhammad Haji Salleh. Saya bangga kerana Dato Usman membaca karya-karya saya khususnya Cinta Hari-hari Rusuhan. Saya juga berterima kasih kerana Dato Baha Zain mencadangkan supaya satu program dokumentari untuk Usman Awang dilakukan segera. Terlalu banyak yang Dato Usman sebut hari itu tidak sesuai untuk ditayangkan oleh RTM 1 yang dimiliki kerajaan, tetapi kami merakamnya dengan sedar mengetahui ini barangkali luahan hati seorang seniman yang tahu beliau berada di ambang sisa akhir hidupnya.

Berita Perdana RTM 1 malam 29 November menyebut Usman seorang yang cenderung kepada gerakan kiri dalam perjuangan seni dan politik beliau. Persahabatannya dengan Dr Syed Husin Ali, bagaimana pemimpin gerakan pelajar berlindung di rumahnya ketika kecoh Rusuhan Baling, dan antara yang menjadi lagenda ialah himpunan puisi Telok Gong yang beliau kelolakan bagi membela nasib petani dan mengkritik kerajaan Selangor dalam tahun 60 an. Malah ramai yang tahu Usman antara yang di belakang Mogok Utusan bagi membantah campur tangan kuasa dalam media.

Terlalu banyak sudah orang menyebut kehebatan beliau dalam dunia penulisan. Tak cukup kertas dan dakwat untuk dinukilkan kesenimanan beliau ini. Semua orang ada kenangan dengan Dato Usman. Banyak atau sedikit, semuanya penuh bahagia, semuanya manis. Begitulah Usman yang ikhlas dalam dunianya. Maka bersemadilah seorang pembela kemanusiaan yang paling diraikan. Usman rasa saya, adalah Sasterawan Negara yang paling dikenali oleh masyarakat bukan Melayu. Puisi-puisi bertema kemanusiaannya menyeberang batasan etnik, batasan agama, tak tersebut saya kerana banyaknya kerana kayanya…

Biar sahaja sejarah dalam lipatannya akan dibuka dan terus dibuka. Saya ingin menutup belasungkawa ini dengan satu rangkap dari puisi karangan Allahyarham, Gadis di Kuburan:

Lari gadis menyembah ke tanah
diiringi sendu menggoncang bahu
tenang pahlawan dipeluk bumi
senyum terakhir tenang tersembunyi.
Al-Fatihah untuk Allahyarham.

Artikel ini ditulis oleh Faisal Tehrani

Untuk biodata lebih lanjut tentang Usman Awang, sila ke laman rasmi http://www.tongkatwarrant.com/biodata.htm dan di sini

6 Responses to Biografi Usman Awang ( 1929-2001 )

  1. hizamabdullah berkata:

    Banyak sumber diperlukan untuk kajian dan pembacaan. terima kasih atas usaha murni ini..

  2. Hanza Miqatsum berkata:

    sesungguhnya kita kehilangan seorang yang sanggup berjuang,
    jasa sering di ingatan
    tidak dilupa menjadi kebanggaan…

  3. Mars berkata:

    Selalu semangat

  4. Mohamad Yasin berkata:

    Sungguh terbilang si Tongkat Warrant
    meninggal budi di teratak cinta
    Sungguh permegianmu tak kan ku lupa
    kerna ku yakin perjuangan kita serupa.

    Allahyarham pernah mengajar ku untuk berpuisi suatu ketika dahulu..ingin sekali ku jadi sepertinya..

  5. saudatul najwa muhamad berkata:

    salam…blh x bg definisi syair pandangan usman awang….sy cari kt lawan web xde….syukran..

  6. lai berkata:

    hurm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: