November 21, 2009
Puisi: Merpati Putih
Kau merpati
beribukan tanah
berbapakan langit – yang terlangir oleh lumpur lembah
dan hujan sejarah.
Paruhmu dijerut rantai konspirasi
kerana kau saja yang berani terbang
dalam terang siang,
dan kini kau saja yang bersendiri – terpasung dalam sangkar derita
tatkala impianmu dikelar pedang sengketa.
Kau merpati putih
dari sarang terpilih,
usah khuatir, kerana
sangkarmu hanyalah jalinan waktu,
yang akan melebur ketika mimpi dan takdir menyatu.
Lebarkan, lebarkan sayapmu di dinding harap
jangan lenakan dulu mimpi itu
kerana esok adalah takdir
untuk berpulang ke sarang asal,
di situlah nanti, mimpimu terpugar!
Nissa’ Yusof
Ipoh, Perak.
Leave a Comment » |
Lain-lain | Tagged: sajak |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
November 19, 2009
Puisi: Bibik Ros
Bibik Ros dari Sumatera
duduk di depan kerusi bas 6 pagi
dari persisiran Klang Lama,
menyerong puluhan bangunan Ampang
tudung kepalanya terang jingga
dan kurung yang disembur Avon.
Tiada dunia kepada wanita tua,
bibik Ros dari Sumatera
menyarung seragam pencuci labuh
siku kempisnya tegang
mengelap habuk KL yang dibawa manusia.
kerjanya dipalit lembapan
berbau fabluso peluh petangnya.
Bibik Ros menyandar letih pinggang
pipi cengkung tanpa suami
jari kurusnya sekasar cangkerang siput
lengan menolak penyapu basah lantai
ke longkang bertakung keruhnya perbandaran.
Senyum bibik Ros mengupas takdir
merekah di tangga pintu bank.
Dialah perempuan sebaya ibu kita
perang kain tuala di bahunya
menyerap miang batuan kota raya
dinding kaca menyalut perasaan
wajahnya yang memaling
seribu keasingan budaya
dan masyarakat muda di eskalator pasar raya.
oh! bagaimana dengan anak-anakku di kampung?
Hidup tidak berulang seperti bas
nasib hadapan tiada papan tandanya,
bibik Ros dari Sumatera
duduk sebelah bahu rakan senegara,
lampu malam menyinar di kening
berkerlip pada keesokan fajar
senyum yang tersimpan dilayang dalam hati
buat Malaysia di jantungnya.
Nukilan:
Roslan Jomel
Ampang Park, Kuala Lumpur.
Leave a Comment » |
Lain-lain | Tagged: sajak |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
November 17, 2009
Puisi: Fragmen Banjir
Paras buku lali
jangan ke mana-mana, sayang
sorok resahmu di balik pintu harapan
sidai baju gusarmu di ampaian kasih
ke sini aku lipatkan kaki seluarmu.
Pada paras lutut ini
tutuplah diri dengan gebar nyali besar
lenalah dulu, bermimpilah jika mahu
nanti aku kejutkan – aku kejutkan
andai air tak surut-surut
masih mahu meladeni desa sendu ini.
Paras pinggang sekarang
bersedialah.
Sudahkah kau simpan dokumen ke syurga?
Simpanlah baik-baik dalam beg iman
pabila air tak mahu memaafkan lagi
usah lupa – bawalah bersama-sama.
Telah hampir ke dada
amaran untuk berpindah
tidak dapat kita tunggu lagi
rumah amal ini
air telah menyapa tangga
bagai ingin membasuh
noda yang dipalitkan
di dalam sedar
di luar sedar.
Berpindahlah
dari leher hampir hapuskan hidung
tak mungkin dapat bernafas lagi
carilah ruang yang lain – sementara
pabila nanti telah reda – kembalilah
namun jangan kau ulangi
jangan kau ulangi bejat yang lalu
Banjir datang mengingatkan
insaflah.
Nukilan:
Rimanilzah
Semanggol, Perak
Leave a Comment » |
Lain-lain | Tagged: Banjir, Koleksi Sajak, puisi melayu |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
Oktober 12, 2009
Dapatkah Aku Belayar Mencari Penawar Sepi
Hati ku terluka kerinduan…
Mencari wajah disebalik mata…
Hati ku kusut kesepian…
Tanpa cinta dari Dia…
Dapatkah aku merindui Mu…
Dalam takbir Al-Quran…
Dapatkah aku mencintai Mu…
Dalam tirai perjalanan…
Telah ku teroka segala Rahsia…
Walau mendung menunjuk hampa…
Telah ku menoktahkan dalam lena…
Walau mentari muncul bahagia…
Dapatkah aku memburu Mu…
Dalam segala kepahitan mengundang…
Dapatkah aku melihat Mu…
Dalam segala kekusutan mendatang…
Ke mana harus ku tuju…
Segala rindu mencengkam jiwa…
Ke mana harus ku mengadu…
Segala cinta didalam jiwa…
Dapatkah aku memeluk Mu…
Dalam lena tidur ku…
Dapatkah aku sembah Mu…
Dalam sujud diatas sejadah ku…
Dimana kewujudan diri Mu…
Tunjukkan kepada hamba Mu ini…
Dimana tempat tepat Mu…
Akan ku cari wajah Mu…
Walaupun ku mati dalam penglihatan ini…
Kerana diriMu…
Aku belayar mencari penawar sepi…
Nukilan:
Dhamah Syifflah
http://belayarmencaripenawar.blogspot.com/
4 komen |
Lain-lain |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
Oktober 5, 2009
SEBUAH KAMPUNG
(Kepada warga dunia, cintailah kedamaian ini)
Sebuah kampung
sebatang jalan raya
dan aku
lengkap sebuah senario
bernama nostalgia
tapi untuk apa?
Pertanyaan ini
sering aku tanya di sini
kepada diri
tapi ….
Sudah ke utara, selatan
timur dan barat tapi
tidak juga kutemui
pemutus kata
antara hitam dan putih
melainkan merah belaka
hampa.
Esok,
akan kuterus pencarian ini
jika kaulihat aku di jalanan
khabarkan kepada semua orang
Tuhan itu satu.
SABRI HASHIM
9:44pagi 09-09-09
4 komen |
Lain-lain | Tagged: kampung, puisi melayu, sajak, sastera melayu |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
September 29, 2009
AIDILFITRI INI
Aidilfitri ini, anakku
saat kemenangan paling indah
seusai berdepan ujian sebulan
senjata iman menundukkan nafsu
tak terbelit akar kebatilan
beribadah tulus mencari hikmah
di bawah terangnya purnama barakah
terpancar cahaya kebaikan
sempurna pembersihan diri
dalam kejernihan nurani.
Aidilfitri ini, anakku
detik kebahagiaan pemberian Allah
betapa damai, hening dan syahdu
dianugerahi kesempatan
menikmati kemanisan
dalam perjalanan hayat
dilingkari kabut rindu
jiwa disentuh takbir bergema
dari menara kebesaran
mengembang cahaya kasih pada Ilahi
mengorak kelopak syukur di taman hati.
Aidilfitri ini, anakku
sesuci kurniaan bersemarak wangi
maknakan anugerah ini
dengan memperteguh cinta hakiki.
NAZIM MOHD SUBARI
2 komen |
Lain-lain | Tagged: Aidilfitri, Hari Raya, sajak, Sajak Hari Raya |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
September 29, 2009
Cinta Syawal lambang kemenangan
kemenangan mendidik hati dan perasaan
perasaan yang membernaskan keinsafan
keinsafan yang membangkitkan keluhuran.
Cinta Syawal cinta hakiki
hakiki sejahtera ke puncak abadi
abadi yang merai dan mewarnai
mewarnai silaturahim erat abadi.
Cinta Syawal tak pernah pudar
berganti musim cahaya bersinar
adalah penawar segala sabar
sabar keimanan menjulang syiar.
Cinta Syawal membibitkan ketakwaan
ketakwaan menzahirkan keimanan
mesra dihulur kemaafan bersulam
bersulam jiwa terlerai dendam.
Cinta Syawal anugerah Ilahi
mendekatinya – akan mengenali diri
cinta Syawal cinta terpuji
menghayatinya – menjauhi hina dan keji.
MAZEMIE MAZ
Taman Selasih, Sikamat, Seremban.
Leave a Comment » |
Lain-lain |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
September 13, 2009
KANVAS RAMADAN
Melukis di kanvas Ramadan-Mu
ikhlas putih mewarnai ketenangan
lorekan pelangi keredaan
syahdu memercik di serata
kelembutan atma.
Dan bingkai takwa itu
teguh memenuhi iman.
ZULKIFLI MOHD TOP
SBP Integrasi Gombak
3 komen |
Lain-lain | Tagged: puisi ramadan |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
September 13, 2009
GERIMIS SUBUH
Jangan lepaskan jemarimu
daripada merindukan takdir
usaplah rerambut usia dengan
manis senyuman
kala jasad itu berada di kaki langit kesal
pada suatu Subuh gerimis itu
yang menyembunyikan rahsia.
Pagi itu semuanya beku
laksana air di kutub hidup
mengatur nafas dengan lidah kelu
hanya bayangan puisi Ramadan
akhir untukku
dengan suara lunak merdu.
Pagi itu semua kelu
akar tidak lagi merindu butiran baja biru
Zamzam di alir ke jalur mulut membisu
untuk dikejut daripada lamunan itu.
Bertanya lagi dengan soalan-soalan
menjawab lagi dengan jawapan jawapan
agar pagi itu tidak sejuk membeku
matahari itu tidak mahu lagi muncul di situ.
Sejenak mengingat
mari melihat dengan fikiran jernih
Kuasa-Mu yang boleh meruntuh
gunung dan bukit
ini insan kerdil yang mudah reput
cuma menjadi gila di dunia fana ini.
MOHAMED TAHIR SHAHDAN
Persiaran Citra Delima, Kluang
1 Komen |
Lain-lain | Tagged: puisi, sajak |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey
September 9, 2009
Rindu Ini, Kedah
Bertahun telah sebuah rindu kupendamkan
dalam kayat hidup kembara mencari ruang
dari paksina ke daksina
rindu kampong halaman ayah bonda
rindu pada saujana permatang saujana
rindu gelak ketawa kalian saudara rakan
taulan
rindu dendam melangit harap
indahnya bumi bertuah.
Rindu ini, Kedah
mekar berbunga dalam kawah kalbu
sukar dilakar di kanvas rasa
jalanan panjang sang pengembara
menjahit rezeki di kota raya
betapa rindu ini acapkali mengajak pulang
jengah sanak saudara seagama
walaupun diri terbuang jauh dari desa
kelahiran
namamu tetap dikenang
selagi hayat masih ada.
Rindu ini, Kedah
kukirim salam di pawana lalu
singgah di puncak terjun ke danau
semuanya indah dalam kenangan
sewaktu bersama kecap bahagia
di bawah naungan Ilahi!
- Ria Asmira -
3 komen |
Lain-lain | Tagged: puisi, sajak |
Pautan Kekal
Dikirim oleh Haniey